
Legenda rock tanah air, WINGS, mengesahkan bahawa Konsert Ulang Tahun Ke-40 WINGS akan tetap diteruskan seperti dijadualkan meskipun dua anggota asalnya, Black (dram) dan Eddie (bass), telah mengumumkan pengunduran diri baru-baru ini.
Konsert bertemakan “WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi” dijadual berlangsung pada 28 November 2025 di Idea Live Arena, Damansara, sebagai simbol keteguhan dan semangat juang kumpulan rock paling berpengaruh di Malaysia itu.
Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM) merangkap penganjur dan penerbit bersama konsert, penganjuran ini diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada empat dekad perjalanan seni WINGS yang telah mencipta pelbagai kejayaan dan meninggalkan impak besar dalam industri muzik tempatan.
“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghargaan kepada nama besar WINGS yang telah menghiburkan rakyat Malaysia selama empat dekad. Kami ingin memastikan setiap penonton pulang dengan kenangan manis dan semangat rock yang tidak pernah padam,” katanya.
Dato’ Eddy turut menzahirkan rasa hormat dan penghargaan kepada dua anggota yang berundur.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Abang Eddie dan Abang Black serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT,” ujarnya.
Beliau menegaskan, segala persiapan kini berjalan lancar dengan kerjasama tenaga produksi berpengalaman, bagi memastikan konsert berskala besar itu memberi pengalaman terbaik buat penonton.
“Kami mahu menjadikan konsert ini sebagai manifestasi semangat dan cinta terhadap muzik rock tanah air. WINGS ialah simbol kekuatan dan ketabahan yang wajar diraikan,” tambahnya.
Sambutan peminat juga amat luar biasa apabila jualan tiket kini mencecah 90 peratus, menandakan keghairahan penggemar muzik rock tempatan untuk menyaksikan detik bersejarah itu.
Terdahulu, Eddie dan Black mengumumkan keputusan untuk keluar daripada kumpulan WINGS dan mengesahkan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam Konsert WINGS 40, yang akan berlangsung pada penghujung November ini.