Ikuti Kami:

Konsert Wali Kembali: Tiket Hampir Habis, Wali Mahu Tebus Kekecewaan Peminat

Konsert Wali Kembali: Tiket Hampir Habis, Wali Mahu Tebus Kekecewaan Peminat

Gelombang ‘Wali’ kini melanda ibu kota apabila hampir 90 peratus tiket bagi Konsert Wali Kembali yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei ini sudah pun habis terjual.

Sambutan luar biasa itu mencerminkan keterujaan peminat yang tidak sabar menyaksikan persembahan solo kumpulan popular dari Indonesia itu di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Vokalisnya, Faank, menyifatkan konsert kali ini sebagai peluang keemasan buat mereka untuk memberikan kepuasan maksimum, sekali gus menebus kekecewaan peminat yang sebelum ini tidak berpeluang menikmati rangkaian lagu hit mereka secara penuh dalam acara terdahulu.

“Kami sedar ramai yang menantikan lagu-lagu seperti ‘Aku Bukan Bang Toyib’, ‘Tobat Maksiat’, ‘Yank’, ‘Cari Jodoh’ dan ‘Baik-Baik Sayang’.

“Kali ini kami kembali dengan konsert solo. Ia merupakan satu penghormatan besar dan kami mahu menghiburkan serta menebus kekecewaan mereka dengan persembahan yang lebih bertenaga,” katanya.

Mengulas mengenai momentum jualan tiket, wakil penganjur GIS Entertainment & Events, Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata sokongan padu peminat di Malaysia membuktikan muzik Wali Band tetap relevan dan dekat di hati ramai.

“Sambutan ini di luar jangkaan kami. Terima kasih atas kepercayaan diberikan. Kami komited untuk memberikan pengalaman konsert berkualiti tinggi, bukan sahaja dari segi produksi tetapi juga kepuasan penonton secara keseluruhan,” katanya.

Wali Band yang turut dianggotai Apoy (gitar), Tomi (dram), dan Ovie (papan kekunci) sebelum ini meraih kejayaan besar dalam konsert solo di Kota Kinabalu, awal bulan ini.

Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di sekitar Bukit Jalil, peminat dinasihatkan hadir seawal jam 4 petang. Pihak penganjur turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan DJ di perkarangan stadium sebelum acara bermula.

Peminat yang masih belum memiliki tiket digesa segera berbuat demikian menerusi laman web www.ilassotickets.com sebelum jualan ditutup sepenuhnya.