Ikuti Kami:

Konsert ‘Voice of the King’ Nassar Tampil Shiha Zikir Julai Ini

Konsert ‘Voice of the King’ Nassar Tampil Shiha Zikir Julai Ini

Demam dangdut dan pop fusion bakal melanda ibu kota apabila penyanyi sensasi Indonesia, Nassar Fahad Ahmad Sungkar atau lebih dikenali sebagai King Nassar, mengesahkan bakal mengadakan konsert solo berskala besar pada Julai depan.

Konsert diberi tajuk “Voice of the ‘KING’ Nassar Live in Malaysia” itu dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 31 Julai 2026, sekali gus menamatkan penantian peminat setianya di negara ini.

Lebih menarik, malam penuh gemilang itu akan turut diserikan dengan kehadiran penyanyi bervokal mantap tempatan, Shiha Zikir, yang tampil sebagai artis jemputan khas.

Menurut kenyataan penganjur, kolaborasi antara dua figura hebat ini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah simbolik kepada keakraban seni budaya antara Malaysia dan Indonesia.

“Kehadiran Shiha Zikir dijangka menyerlahkan lagi konsert ini sebagai satu sambutan muzik rentas budaya yang dinamik. Ia pasti meninggalkan kenangan manis buat penonton yang merindukan persembahan bertenaga tinggi,” kata wakil penganjur.

Nassar, yang cukup dikenali menerusi lagu hits seperti Mati Lampu dan Gejolak Asmara, menjanjikan sebuah persembahan spektakular yang menggabungkan vokal luar biasa, elemen komedi ringan, serta penceritaan dramatik di atas pentas.

Dianjurkan oleh Satu8 dan Black Sky Entertainment dengan sokongan Tourism Malaysia, konsert ini turut mendapat kerjasama Orlaith Inc sebagai rakan strategik.

Pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi dilihat bertepatan dengan konsep persembahan imersif yang ingin dibawakan oleh King Nassar, bagi memastikan interaksi jarak dekat bersama peminat dapat dizahirkan secara maksimum.

Peminat dinasihatkan agar tidak melepaskan peluang menyaksikan spektakuler muzik ini yang menjanjikan prestij dan tenaga luar biasa daripada “The King” sendiri.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang, tiket dijual pada harga bermula RM188 hingga RM388, manakala bagi peminat yang inginkan pengalaman eksklusif, pakej Royal Box ditawarkan pada harga RM6,888.

Tiket boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web rasmi di https://kingnassarconcert.com/