Ikuti Kami:

Konsert ‘Ungu 3 Dasawarsa’, Ungu Raikan 30 Tahun Bersama Peminat Malaysia

Konsert ‘Ungu 3 Dasawarsa’, Ungu Raikan 30 Tahun Bersama Peminat Malaysia

Tiga dekad dalam industri muzik bukan sekadar satu angka, tetapi merupakan sebuah perjalanan yang ditempa dengan jatuh bangun, evolusi, dan ketahanan yang jarang mampu dicapai oleh mana-mana kumpulan muzik.

Bagi kumpulan ikonik dari Indonesia, Ungu, perjalanan seni yang penuh warna itu kini bakal diraikan menerusi sebuah konsert istimewa bertajuk “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” pada 5 September 2026 di Idea Live Arena.

Bagi vokalisnya, Pasha, Malaysia mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam sejarah kerjaya mereka kerana karya-karya Ungu bukan sahaja popular, malah telah menjadi sebahagian daripada memori kolektif peminat merentasi generasi di negara ini.

“30 tahun ini adalah tentang ketahanan. Konsert di Kuala Lumpur nanti bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah keraian legasi bersama peminat yang telah menyokong kami sejak awal sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu sidang media di Warung Sekawan, Putrajaya, semalam.

Konsert anjuran COMs Creative Studio dengan kerjasama DM Diamond Entertainment ini merakamkan transisi seni Ungu bermula daripada akar yang sederhana sehingga berjaya memahat status sebagai legenda muzik Nusantara.

Menurut Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy (COMs. Creative Studio), konsert ini lahir daripada keinginan untuk mengabadikan hubungan erat antara Ungu dan peminat mereka di Malaysia.

“Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu, dengan objektif utama untuk meraikan peminat setia mereka di Malaysia. Dalam tempoh dua jam, Ungu akan mempersembahkan himpunan lagu-lagu terbaik mereka. Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu dokumentasi perjalanan seni Ungu sepanjang tiga dekad dari mula sehinggalah sekarang.” katanya.

Kumpulan yang ditubuhkan pada Julai 1996 ini masih mengekalkan barisan anggota utamanya iaitu Pasha (Vokal), Enda (Gitar), Oncy (Gitar), Makki (Bass) dan Rowman (Dram).

Bagi menterjemahkan perjalanan ini ke pentas, konsert akan distrukturkan dalam tiga segmen utama: “The Birth”, “The Peak dan “The Legacy” yang membawa penonton menyelusuri evolusi Ungu dari awal kemunculan hingga ke kematangan sebagai sebuah nama besar dalam industri.

Sebanyak tujuh kategori tiket akan ditawarkan, termasuk pakej eksklusif “Meet & Greet” yang memberikan peminat peluang lebih dekat bersama band ini, lengkap dengan barangan rasmi edisi terhad seperti t-shirt, lanyard, keychain dan bag tote.

Jualan tiket dijangka bermula pada 27 April 2026 ini, dengan tawaran “Early Bird” sebelum jualan umum dibuka.