Ikuti Kami:

Konsert TRILOGI: Aepul Roza, Aweera, Fiq Halim Bakal Gegar Astana Putra UPM Julai Ini

Konsert TRILOGI: Aepul Roza, Aweera, Fiq Halim Bakal Gegar Astana Putra UPM Julai Ini

Kerinduan peminat untuk melihat gabungan vokal rock berkarisma di atas satu pentas bakal terubat apabila Konsert TRILOGI yang menampilkan Aepul Roza, Aweera, dan Fiq Halim dijadualkan berlangsung di Big Pillars Hall, Astana Putra UPM, pada 18 Julai depan.

Konsert yang dianjurkan oleh Aepul Roza Ventures Sdn Bhd itu bukan sekadar persembahan hiburan biasa, malah ia menjadi medan ‘comeback’ buat tiga figura ini selepas mempamerkan keserasian luar biasa menerusi kolaborasi lagu Selamatkan Aku pada tahun 2017.

Penganjur yang juga vokalis Drama Band, Aepul Roza, berkata idea penganjuran konsert ini tercetus susulan maklum balas luar biasa peminat ketika mereka membuat persembahan di Konsert 15 Tahun Drama Band, Januari lalu.

“Keyakinan saya datang daripada kepercayaan kepada kualiti dua sahabat saya ini. Kami melihat reaksi penonton yang menyanyi lebih kuat daripada penyanyi di atas pentas, terutamanya ketika Fiq mendendangkan lagu Tiga Malam Tanpa Bintang.

“Ini adalah projek passion kami untuk membuktikan kredibiliti dan kehebatan vokal mereka masih utuh, selain menjadi platform meraikan evolusi muzik rock tempatan,” katanya semasa sidang media yang diadakan di RUSA MUSIC, di sini, hari ini.

Menjanjikan pengalaman muzik yang menyeluruh, konsert itu bakal mempersembahkan sebanyak 25 buah lagu merangkumi karya solo setiap artis serta kolaborasi istimewa yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Lebih menarik, projek TRILOGI ini turut akan melahirkan sebuah single bertiga serta album EP yang mengandungi lima trek baharu yang dijangka menemui peminat sebelum konsert berlangsung.

Sementara itu, bagi Fiq Halim, jemputan untuk menjayakan konsert ini disifatkan sebagai suntikan semangat untuk kembali aktif di hadapan lensa selepas banyak menghabiskan masa di belakang tabir.

“Momentum ketika dijemput dalam konsert Drama Band sebelum ini membuatkan saya lebih bersemangat. Sokongan rakan-rakan seperti Aepul amat bermakna untuk saya terus melangkah dalam industri,” jelasnya.

Bagi mengekalkan suasana eksklusif dan intim antara artis dan peminat, kapasiti penonton dihadkan kepada 1,000 orang sahaja.

Setakat ini, 200 tiket ‘early-bird’ telah pun habis terjual, meninggalkan baki sekitar 800 tiket untuk direbut peminat.

Tiket ditawarkan dalam tiga kategori utama iaitu VIP (RM289) yang merangkumi sesi Meet & Greet eksklusif bagi 100 pembeli terawal, kategori Normal (RM189), serta kategori Standing (RM99).

Peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman rasmi di www.trilogi.uberticket.asia.