Ikuti Kami:

Konsert TRIAD: Dato’ Awie Bakal Catat Nama Dalam The Malaysia Book of Records!

Konsert TRIAD: Dato’ Awie Bakal Catat Nama Dalam The Malaysia Book of Records!

Konsert TRIAD, yang bakal berlangsung pada 14 Februari di Zepp KL, bukan sekadar sebuah persembahan rock biasa.

Ia kini mencuri tumpuan dengan pencalonan dalam The Malaysia Book of Records sebagai “First Artiste to Lead Multiple Bands in a Rock Concert 2025”.

Pengiktirafan ini diberikan kepada legenda rock tanah air, Dato’ Awie, yang akan memimpin tiga kumpulan rock ikonik dalam satu malam – Wings, Search Kid Din, dan Dragon Malaya.

Dengan gabungan lebih 25 lagu hits sepanjang tiga dekad, termasuk Taman Rashidah Utama, Jerangkung Dalam Almari, Sejati, Di Penjara Janji dan Nur Nilam Sari, konsert ini dijangka menjadi salah satu persembahan rock terbesar tahun ini.

Dato’ Awie bukanlah nama asing dalam dunia hiburan Malaysia. Bermula sebagai vokalis Wings pada era 1980-an, beliau terus kukuh dalam industri sebagai penyanyi, pelakon, penerbit, dan usahawan.

Walaupun industri muzik telah melalui pelbagai perubahan, kesetiaan dan perjuangan Dato’ Awie terhadap muzik rock tempatan tidak pernah luntur.

Keupayaan beliau memimpin tiga kumpulan rock dalam satu konsert menjadi bukti kekuatan dan daya tarikan muziknya yang kekal relevan merentas generasi.

Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah Rumah Produksi Merah yang juga penganjur Konsert TRIAD, pencalonan ini adalah satu bentuk penghargaan terhadap perjuangan muzik rock tempatan.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu penghormatan buat rock Malaysia. Kami mahu pastikan ia menjadi satu peristiwa bersejarah yang diingati,” katanya.

Proses penilaian oleh The Malaysia Book of Records akan dilakukan sepanjang konsert, dan keputusan rasmi akan diumumkan sebaik acara tamat.

Bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini, tiket kini boleh didapati di https://rpm.ubertickets.asia.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Konsert TRIAD yang bakal mencipta sejarah!

Komen
Loading...