Ikuti Kami:

Konsert Solo Pertama Insomniacks: Echoes of a Dream di Zepp Kuala Lumpur, Julai 2025

Konsert Solo Pertama Insomniacks: Echoes of a Dream di Zepp Kuala Lumpur, Julai 2025

Insomniacks, kumpulan pop-rock yang terkenal dengan lagu-lagu hits seperti Pulang dan Belum Mulai, bakal mengadakan konsert solo pertama mereka yang diberi tajuk Echoes of a Dream: Insomniacks Live in Concert.

Konsert yang ditunggu-tunggu ini akan berlangsung pada Sabtu, 12 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur, menjadikan ia sebagai salah satu acara muzik terbesar tahun ini.

Persembahan ini bukan sahaja menandakan perjalanan 10 tahun dalam industri muzik, tetapi juga menjadi satu pencapaian besar buat Insomniacks.

Kumpulan yang dianggotai oleh Iqie (Syed Mir Iqbal), Iskandar (Wan Arif Iskandar), dan Danial (Danial Lee Hashim), menganggap konsert ini sebagai peluang untuk merayakan detik-detik berharga bersama peminat yang telah memberikan sokongan padu sejak awal kemunculan mereka.

“Tahun 2025 sangat bermakna buat kami kerana akhirnya berpeluang mengadakan konsert besar sendiri. Ini adalah satu pencapaian besar, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong kami,” kata mereka.

Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment iaitu Sufi Rashid, konsert ini bakal menjadi satu sejarah besar buat Insomniacks.

Malah penjualan harga tiket juga akan dijual pada harga mampu milik sebagai tanda kumpulan itu menghargai peminat-peminat mereka yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan Insomniacks selama ini.

“Ini akan menjadi satu detik bersejarah buat Insomniacks sendiri kerana a adalah konsert solo pertama mereka. Untuk jualan tiket pula, kami sepakat menawarkan harga mampu milik supaya peminat-peminat Insomniacks dapat bersama-sama mencipta detik bersejarah tersebut dan ia paling murah pernah dijual di Zepp KL selepas sekian lama,” katanya.

Insomniacks mula ditubuhkan pada tahun 2015 dan permulaan band ini bermula dengan sering memuat naik video ‘cover’ lagu-lagu popular di saluran YouTube
mereka.

Tidak hanya itu, Insomniacks juga pernah mendapat pengiktirafan meluas menerusi empat buah lagu yang berjaya menembusi Top 10 RIM (Recording Industry Malaysia)
Domestic Chart iaitu melalui lagu Pulang, Sempurna, Reminisensi dan Iguan Malam.

Konsert Echoes of a Dream akan menampilkan pengalaman muzik yang luar biasa dengan teknologi audio dan visual terkini, membawa penonton melalui perjalanan muzik yang penuh emosi dan kenangan.

Peminat boleh menjangkakan persembahan bertenaga dari Insomniacks, termasuk lagu-lagu popular mereka yang telah memecah rekod, seperti Pulang yang mencatat sejarah sebagai lagu tempatan paling lama berada dalam carta dan lagu yang paling banyak distrim pada tahun 2019.

Harga tiket untuk konsert ini bermula dari RM138 hingga RM228 untuk tiket standard dan RM6668 untuk tiket VIP BOX.

Tiket akan mula dijual pada 5 Mei 2025, jam 3 petang menerusi platform Ticketmelon, dan peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal kerana tempat adalah terhad.

Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini menandakan pencapaian besar buat Insomniacks dalam perjalanan seni mereka.

Komen
Loading...