Ikuti Kami:

Konsert Solo Ari Lesmana Di Sabah Tampil Kelainan Bersama DJ Firza, Millvrd

Konsert Solo Ari Lesmana Di Sabah Tampil Kelainan Bersama DJ Firza, Millvrd

Penyanyi ikonik dan vokalis kumpulan Fourtwnty, Ari Lesmana, bakal membawakan dimensi muzik yang lebih segar buat peminat di Sabah menerusi konsert solo sulungnya, “Mangu Di Bawah Bayu”, yang dijadualkan berlangsung pada 6 Feb ini.

Berbeza dengan persembahan sebelum ini, konsert yang akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) itu bakal menampilkan kolaborasi istimewa bersama DJ Firza dan Millvrd, sekali gus menjanjikan suntikan elemen dinamik dalam setiap susunan lagu yang bakal dipersembahkan.

Pengarah Urusan Sembang Kari Entertainment, Fakhrul Khalid berkata, penyertaan DJ Firza dan Millvrd bertujuan memberikan nafas baharu kepada karya-karya Ari Lesmana agar penonton dapat menikmati kualiti produksi yang setaraf antarabangsa.

“Aura dan identiti muzik yang dibawakan oleh Ari mempunyai pengikut yang sangat teguh di Sabah. Melalui ‘Mangu Di Bawah Bayu’, kami ingin mencipta satu ruang di mana peminat dapat ‘healing’ dan merasai keintiman muzik dalam suasana yang estetik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ari Lesmana melahirkan keterujaannya untuk kembali ke Borneo dan menyifatkan Sabah sebagai sebuah lokasi yang mempunyai energi luar biasa serta keindahan alam yang selari dengan jiwa “Mangu”, iaitu keadaan tenang dan terpesona dalam keindahan perasaan.

“Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk menyapa teman-teman di Borneo secara lebih dekat. Datanglah, kita akan ‘berdialog’ lewat lagu, melepas rindu, dan merayakan rasa bersama-sama di bawah bayu nanti,” ujar penyanyi yang cukup dikenali dengan vokal unik dan gaya persembahan penuh emosi itu.

Tiket bagi konsert tersebut telah mula dijual menerusi laman web www.myticketempire.com dengan harga RM177 bagi kategori Festival Standing dan RM377 bagi kategori VIP.

Bagi kategori VIP, pembeli akan menikmati pelbagai keistimewaan termasuk sesi ‘Meet & Greet’, akses laluan pantas (fast lane), serta barangan rasmi konsert termasuk beg tote, lanyard dan kad ID.

Sebagai usaha memudahkan peminat memiliki tiket, pihak penganjur turut menyediakan kemudahan pembayaran ansuran melalui platform SPayLater, PayLater by Grab dan Atome.

Komen
Loading...