Konsert Simple Plan ‘The Bigger Than You Think!’ November Ini, Tiket Mula Dijual 4 Mei
- oleh MDaily Editor
- 30 Apr 2026 6:31 pm
Kumpulan pop-punk ikonik dunia, Simple Plan, bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia menerusi siri jelajah global mereka, “The Bigger Than You Think!” yang dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena pada 21 November 2026.
Kehadiran semula pemenang pelbagai anugerah platinum ini amat dinantikan memandangkan kali terakhir mereka berkunjung ke rantau Asia Tenggara adalah pada tahun 2023.
Konsert kali ini turut membawa makna besar kerana ia merupakan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan tersebut.

Pengarah RK Live Asia, Rahul Kukreja, menyifatkan konsert ini sebagai momen penting yang akan memperlihatkan hubungan erat antara kumpulan tersebut dengan peminat di Malaysia.
“Terdapat sejarah yang kuat antara Simple Plan dan peminat di sini. Dengan sambutan 25 tahun mereka, ini adalah jenis konsert di mana anda akan merasai hubungan itu dari awal hingga akhir,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Simple Plan melahirkan rasa teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur yang dianggap sebagai lokasi istimewa sepanjang kerjaya mereka.

“Kami sangat teruja untuk kembali ke Asia Tenggara. Memandangkan kami meraikan ulang tahun ke-25, persembahan ini akan menjadi sangat istimewa.
“Setlist kami akan merangkumi lagu-lagu hits terbesar dari setiap era, lagu kegemaran peminat, termasuklah lagu yang jarang kami mainkan secara langsung,” kata kumpulan itu.
Selain meraikan nostalgia bersama peminat, Simple Plan terus komited dalam misi kemanusiaan, sebanyak USD1 (RM4.75) daripada setiap jualan tiket dan pakej VIP akan didermakan kepada Simple Plan Foundation.
Sejak ditubuhkan pada 2005, yayasan ini telah menyumbang lebih USD3 juta (RM14.2 juta) bagi menyokong golongan belia yang memerlukan serta mempromosikan muzik sebagai alat ekspresi diri.

Bagi peminat yang tidak mahu terlepas peluang, tiket akan mula dijual secara berperingkat menerusi laman web ticketmelon.com dan fantopia.io:
– Pra-jualan Artis: 4 Mei 2026 (Isnin), bermula jam 11:00 pagi.
– Jualan Umum: 5 Mei 2026 (Selasa), bermula jam 11:00 pagi.
Harga tiket bermula daripada RM358, tertakluk kepada 10 peratus cukai hiburan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Selangor.
