Ikuti Kami:

Konsert Sean Paul Live In Malaysia 2025 Janjikan Malam Penuh Energi

Konsert Sean Paul Live In Malaysia 2025 Janjikan Malam Penuh Energi

Kuala Lumpur bakal bergegar dengan irama dancehall apabila bintang antarabangsa, Sean Paul, kembali ke Malaysia untuk menjayakan Konsert Sean Paul Live in Malaysia 2025 pada 10 Oktober ini di Idea Live Arena.

Konsert yang dianjurkan oleh Epic Elation dengan sokongan Sound Innovations, Spike Productions, dan LFG Entertainment itu dijangka menjadi antara persembahan antarabangsa paling bertenaga dan berprestij tahun ini.

Peminat bakal disajikan dengan barisan lagu popular yang melonjakkan nama penyanyi kelahiran Jamaica itu ke pentas dunia termasuk Get Busy, Temperature, We Be Burnin’, dan No Lie.

Turut dinantikan ialah persembahan lagu terbarunya berjudul Ginger yang kini mencetus fenomena di platform penstriman seluruh dunia.

Menurut wakil Epic Elation, konsert itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya satu perayaan yang menyatukan muzik, budaya dan tenaga global.

Penganjur turut berjanji menghadirkan pengalaman hiburan langsung bertaraf antarabangsa dengan produksi pentas dan bunyi yang luar biasa.

“Kami berhasrat menghadirkan satu pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi menghubungkan peminat dengan aura dan tenaga Caribbean yang menjadi identiti Sean Paul. Ia akan menjadi malam penuh energi dan euforia,” katanya.

Sean Paul, yang kini berusia 52 tahun, turut meluahkan keterujaannya untuk kembali beraksi di Malaysia selepas tujuh tahun.

“Saya sangat teruja untuk kembali ke Malaysia. Setiap kali saya beraksi di sini, tenaga penonton luar biasa. Saya tidak sabar mempersembahkan lagu baharu Ginger secara langsung kerana lagu ini punya aura tersendiri,” katanya.

Tiket konsert akan mula dijual 21 Julai 2025 menerusi platform fantopia.io, dengan harga antara RM363 hingga RM493 bergantung kepada kategori tempat duduk.

Radio rasmi bagi konsert ini ialah ERA FM, HITZ FM, MIX FM, dan SINAR FM.

Sean Paul merupakan antara ikon dancehall paling berpengaruh di dunia dengan kerjaya lebih dua dekad.

Beliau pernah meraih Anugerah Grammy dan menghasilkan deretan lagu hit yang mencapai status multi-platinum, selain berkolaborasi dengan artis ternama antarabangsa seperti Beyoncé, Sia, Dua Lipa, dan Major Lazer.

Dikenali dengan persembahan pentas yang penuh bertenaga, Sean Paul terus memperkukuh pengaruhnya sebagai tokoh dancehall moden yang berjaya mengekalkan identiti muzik Caribbean sambil menarik minat peminat muzik arus perdana seluruh dunia.

Konsertnya di Kuala Lumpur dijangka menjadi malam penuh warna dan tenaga, meraikan muzik tanpa sempadan.

Komen
Loading...