Konsert Santai Budaya 2025: Lantera Seni Rai Satu Dekad Menerusi Energi Segar
- oleh MDaily Editor
- 6 Dec 2025 9:02 pm
Hidayah (kiri) dan Muhammad Syazwan menjadi tulang belakang penting Konsert Santai Budaya 2025.
Kumpulan tari yang sinonim dengan identiti tradisi kontemporari, Lantera Seni, meraikan perjalanan seni selama 10 tahun menerusi Konsert Santai Budaya 2025 yang berlangsung dua malam di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang pada 6 dan 7 Disember.
Ditubuhkan pada 2015, Lantera Seni bermula daripada tenaga sebuah kumpulan kecil yang mempunyai tekad mengangkat tarian Melayu klasik ke arus moden.
Kini mereka berdiri sebagai antara kumpulan paling aktif dalam penganjuran persembahan festival, program rasmi kementerian dan acara korporat.
Konsert ulang tahun ini menjadi simbol penghargaan terhadap pencapaian mereka selama sedekad, selain menampilkan semula karya-karya “tarian Johan” yang pernah mengharumkan nama kumpulan itu di pentas pertandingan.
Menurut pengarah projek, Hidayah Rosli, penganjuran kali ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu dedikasi kepada seluruh komuniti Lantera Seni.
“Kita mahu keluarga penari sendiri melihat perjalanan anak-anak mereka. Ada yang sudah besar, ada yang kini jadi alumni. Ini pentas untuk kita raikan semua,” katanya.
Sebanyak 47 penari tampil, mewakili kategori junior, remaja, dewasa dan kumpulan alumni.

Perpaduan tenaga daripada pelbagai generasi menghasilkan persembahan yang penuh dinamika, namun masih berakar pada asas tradisi.
Pentas dibahagikan kepada tiga segmen utama tradisi, kreatif dan kreasi memperlihatkan kematangan Lantera Seni dalam eksplorasi seni tari Nusantara.
Segmen Tradisi menampilkan Zapin, Asli, Inang dan Joget, manakala segmen Kreatif memperluas pergerakan ke arah tarian etnik Sabah dan kreasi berinspirasikan budaya India.
Keseluruhan persembahan berjalan selama sejam 40 minit, disusun rapi dengan selingan persembahan tambahan termasuk nyanyian serta aksi ‘extra turn’ untuk mengekalkan aliran persembahan.
Koreografer dan ketua persembahan, Muhammad Syazwan Razali pula memberitahu, bahawa penggabungan tiga segmen besar ini merupakan pencapaian teknikal paling mencabar mereka setakat ini.
“Ini kali pertama kami satukan semuanya dalam satu penceritaan. Kami mahukan penonton rasa perjalanan budaya yang lengkap dari akar tradisi sampai ke eksperimen moden,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa setiap segmen disusun bagi memastikan penonton tidak hanya menonton, tetapi “merasai roh tarian yang dibawa generasi demi generasi.”
Penganjuran dua hari ini dianggarkan menelan belanja sekitar RM150,000, ditampung melalui dana, tajaan dan sumbangan alumni.
Usaha besar itu tidak mematahkan semangat kerana fokus utama mereka adalah menyampaikan sebuah persembahan berkualiti tinggi.
Konsert turut dimeriahkan dengan penampilan artis undangan, Roger Kajol yang terkenal dengan nyanyian berteraskan Zapin dan Ghazal.
Aura budaya yang dibawanya melengkapkan mood persembahan yang bertemakan keharmonian warisan Nusantara.
Sambutan penonton pula sangat menggalakkan apabila kedua-dua malam sold out dengan kapasiti 340 penonton setiap malam, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 700 penonton dalam dua hari.
Hidayah menyifatkan sokongan itu sebagai dorongan untuk mereka membawa konsep sama ke negeri-negeri lain.
“Andai ada rezeki, kita nak bawa konsep ini ke Utara, ke Sabah, atau mana-mana yang sudi menerima. Seni kena bergerak, bukan hanya terkurung di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Harga tiket yang mesra poket RM25 untuk pelajar, RM35 untuk dewasa dan RM50 untuk tetamu kenamaan yang turut menjadi faktor menarik penonton pelbagai lapisan, terutama generasi muda.
Menutup tirai, Hidayah berharap usaha ini dapat menyemarakkan minat masyarakat terhadap seni tari klasik.
“Zaman berubah, tetapi seni tradisi masih boleh hidup kalau kita bawakan dengan jiwa dan pendekatan yang dekat dengan penonton hari ini,” katanya.
Konsert Santai Budaya 2025 berdiri sebagai bukti bahawa seni tari warisan masih mempunyai ruang besar dalam landskap hiburan moden—selagi ada kumpulan seperti Lantera Seni yang komited menjaga dan menghidupkannya.




