Konsert “Sandiwara Cinta” Tanda Kemunculan Semula Repvblik di Malaysia
- oleh MDaily Editor
- 4 Nov 2025 9:56 pm
Kumpulan pop-rock terkenal dari Indonesia, Repvblik, bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert istimewa “Sandiwara Cinta – Repvblik Live in Kuala Lumpur” yang dijadual berlangsung pada 8 Februari 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh Rockstage Entertainment itu menandakan kemunculan semula Repvblik di Malaysia selepas sekian lama tidak membuat persembahan berskala besar di negara ini.
Peminat dijangka bakal menikmati malam penuh emosi, cinta dan nostalgia melalui barisan lagu popular yang pernah melonjakkan nama kumpulan ini seperti Sandiwara Cinta, Aku Tetap Cinta, Selimut Tetangga, Tiada Guna Lagi dan Hanya Ingin Kau Tahu.

Repvblik yang kini dianggotai oleh Ruri (vokalis utama), Hexa (gitar) dan Tyrex (bass), merupakan antara kumpulan muzik yang mempunyai pengaruh besar di rantau Asia Tenggara.
Dengan gaya muzik pop-rock yang kuat dan lirik yang menyentuh perasaan, mereka telah mencipta legasi tersendiri sejak kemunculan pertama lebih sedekad lalu.
Lagu-lagu mereka bukan sahaja mendapat tempat di hati peminat Indonesia, malah sering menduduki carta popular di Malaysia dan beberapa negara jiran.
Menurut wakil Rockstage Entertainment, penganjuran konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu usaha memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia melalui muzik.
“Repvblik mempunyai pengikut yang sangat setia di Malaysia. Kami ingin memberikan pengalaman konsert yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menyentuh jiwa penonton, selaras dengan mesej dan nilai yang dibawa dalam karya mereka,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Tambahnya lagi, pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran mencerminkan komitmen terhadap standard persembahan bertaraf antarabangsa.

Dengan kemudahan canggih dan sistem akustik moden, lokasi itu diyakini mampu memberikan pengalaman audio-visual yang tiada tandingan.
Konsert “Sandiwara Cinta – Repvblik Live in Kuala Lumpur” akan menampilkan produksi berskala besar yang menggabungkan elemen bunyi, pencahayaan dan visual secara menyeluruh.
Penonton juga bakal dibawa mengimbau perjalanan muzik Repvblik dari awal pembabitan hingga ke hari ini dalam suasana penuh kenangan dan kejujuran.
Harga tiket ditawarkan antara RM190 hingga RM600, merangkumi beberapa kategori tempat duduk daripada Normal Seats hingga RSE Box eksklusif. Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi https://www.myticketempire.com/repvbliksandiwaracintakl.




