Ikuti Kami:

Konsert Retrospektif Afgan Pukau 2,000 Peminat di Zepp KL

Konsert Retrospektif Afgan Pukau 2,000 Peminat di Zepp KL

Penyanyi popular Indonesia, Afgan, berjaya mengubat kerinduan peminatnya di Malaysia apabila menghadiahkan sebuah malam penuh magis menerusi Konsert Retrospektif yang berlangsung penuh gemilang di Zepp Kuala Lumpur, malam Sabtu.

Persembahan yang menghimpunkan lebih 2,000 peminat setia itu menyaksikan Afgan, atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 36, tampil memukau dengan mempersembahkan kesemua lagu daripada album terbaharu beliau berjudul Retrospektif buat julung kalinya di hadapan khalayak.

Penganjuran konsert ini menjadi detik bersejarah buat industri muzik serantau apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi pertama pelancaran dan persembahan keseluruhan album itu, bahkan mengatasi Jakarta.

Afgan menjelaskan, album Retrospektif merupakan naskhah istimewa yang menandakan kemunculan semula beliau merakamkan album berbahasa Indonesia selepas berehat selama tujuh tahun.

“Saya gembira dapat kembali ke Malaysia. Saya akan menyanyikan kesemua lagu dalam album baru ini buat pertama kalinya hanya di Kuala Lumpur. Di Jakarta pun belum ada, jadi anda semua dapat mendengar secara ekslusif. Ia bermakna anda semua sangat istimewa buat saya,” katanya.

Suasana konsert hampir tiga jam itu berlangsung dalam gelombang emosi apabila setiap lagu dipersembahkan dengan susunan muzik yang lebih segar, bertenaga, disokong oleh pencahayaan dramatik dan visual artistik, seolah-olah membawa penonton menyelami makna di sebalik setiap karya.

Selain lagu-lagu baharu, penyanyi berkaca mata itu turut tidak menghampakan peminat dengan rangkaian lebih 20 buah lagu hit yang pernah melonjakkan namanya seperti Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Jodoh Pasti Bertemu, dan Lenggang Puspita.

Lebih menarik, Afgan turut dilihat beberapa kali berinteraksi secara intim dengan peminat, termasuk memanggil seorang peminat bertuah naik ke pentas untuk menerima ucapan hari lahir, selain spontan merakamkan swafoto menggunakan telefon pintar peminat.

Keintiman yang terjalin sepanjang persembahan tersebut membuktikan hubungan akrab Afgan dengan peminatnya di Malaysia, sekali gus menjadikan Konsert Retrospektif bukan sahaja sebuah persembahan muzik, tetapi sebuah memori manis yang sukar dilupakan.

Komen
Loading...