Konsert Rentas Masa: 70% Tiket Terjual, Penganjur Sediakan Kaunter Jualan di Venue
- oleh Mohd Indera
- 4 bulan lalu

Pengarah Projek TGJ Entertainment, Ovie Muhammad, yang merupakan penganjur Konsert Rentas Masa, mendedahkan bahawa penjualan tiket telah mencapai sekitar 70% setakat ini.
Menurutnya, terdapat perbezaan ketara dalam corak pembelian tiket antara peminat artis lama dan artis baharu.
Peminat legenda muzik lebih cenderung membeli tiket secara langsung di kaunter berbanding dalam talian.
“Kami perasan peminat artis lama lebih suka membeli tiket pada saat akhir, seakan-akan menonton perlawanan bola sepak. Ada yang datang dari Johor dan Melaka untuk membeli tiket terus di lokasi konsert. Ini sedikit merisaukan kami, namun kami tetap menyediakan kaunter jualan tiket di venue,” katanya.
Bercakap mengenai barisan artis, Ovie turut berkongsi bahawa beliau ingin menampilkan penyanyi era baharu dalam konsert ini.
Ovie Muhammad (kanan sekali) bersama, Datuk Jeffrydin, Datuk DJ Dave dan Ziana Zain. Foto Oleh: Subky Hj Bebit
Namun, disebabkan masa yang terhad, pihaknya memberi tumpuan kepada generasi terdahulu terlebih dahulu.
“Sebenarnya, saya ingin menampilkan penyanyi era baharu, tetapi masa terlalu pendek. Jika terlalu ramai artis, setiap penyanyi mungkin hanya dapat menyanyikan satu atau dua lagu, dan itu tidak memuaskan hati penonton.”
“Oleh sebab itu, kami memberi tumpuan kepada generasi ini dahulu. Mungkin untuk konsert akan datang, kita akan menampilkan generasi 90-an ke atas,” jelasnya.
Penganjur turut berdepan cabaran berkaitan kapasiti penonton. Pada asalnya, ruang konsert diatur dengan kawasan berdiri, namun atas permintaan tinggi untuk tempat duduk, jumlah kapasiti dikurangkan daripada 1,600 kepada 1,200 tempat duduk bagi memastikan keselesaan penonton.
“Saya risau jika terlalu ramai hadir secara walk-in dan melebihi kapasiti yang ditetapkan. Oleh itu, kami mengubah susunan tempat duduk bagi menyesuaikan dengan keperluan penonton,” tambahnya.
Konsert Rentas Masa pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 31 Disember 2024 tetapi ditunda bagi menghormati mangsa bencana banjir di beberapa negeri.
Ara Johari, yang sebelum ini disenaraikan sebagai salah seorang penyanyi, terpaksa menarik diri kerana perubahan jadual yang menyebabkan pertindihan dengan komitmen lain.
“Pada mulanya, konsert ini dijadualkan berlangsung hingga tengah malam dengan sambutan tahun baharu. Tetapi setelah ditunda, masa konsert dikurangkan kepada sekitar dua jam lebih sedikit. Disebabkan itu, kami tidak dapat mengekalkan semua penyanyi dalam senarai asal,” jelas Ovie.
Foto Oleh : Papadin.
Sementara itu, Ziana Zain meluahkan rasa syukur dan teruja kerana dapat berkongsi pentas dengan tiga legenda muzik tanah air dalam konsert ini.
“Ini satu peluang yang jarang kita dapat. DJ Dave dan Jeffrydin adalah ikon muzik yang lagunya kita dengar sejak kecil. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu mereka, malah ibu saya adalah peminat setia Datuk Jeffrydin. Dapat berkongsi pentas dengan mereka adalah satu penghormatan besar,” kata Ziana.
Beliau turut menyeru generasi muda agar tidak meminggirkan artis lama kerana tanpa mereka, industri muzik tidak akan berada di tahap sekarang.
“Kita harus menghargai mereka. Mereka adalah perpustakaan muzik kita. Saya selalu berpesan kepada generasi muda, jangan abaikan mereka kerana tanpa mereka, kita tiada di sini,” tambahnya.
Konsert ini dijangka tetap mendapat sambutan hangat dengan barisan artis yang masih mampu menghidupkan nostalgia peminat muzik tanah air.
Konsert Rentas Masa yang berlangsung di Zepp KL pada malam esok menjanjikan satu pengalaman luar biasa buat peminat muzik tanah air.
Konsert yang menampilkan barisan penyanyi legenda seperti Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Datuk Awie, dan Ziana Zain ini membawa penonton menyelusuri pelbagai era muzik Malaysia, dari tahun 60-an hingga 90-an.
Harge tiket bermula RM158 hingga RM 338 boleh dibeli di laman ilassotickets.com.