Ikuti Kami:

Konsert ‘Rasi Jiwa’ Bukti Kematangan Ghea Indrawari, Tiket Mula Dijual 10 Januari Ini

Konsert ‘Rasi Jiwa’ Bukti Kematangan Ghea Indrawari, Tiket Mula Dijual 10 Januari Ini

Penyanyi berbakat besar dari Indonesia, Ghea Indrawari, bakal kembali ke ibu kota bagi mengubat kerinduan peminat menerusi konsert solo istimewa, Ghea Indrawari: Rasi Jiwa – Live in Kuala Lumpur pada 8 Mei depan.

Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah dianggap sebagai bukti kematangan seni Ghea dalam menterjemah naskhah balada yang sarat dengan kejujuran perasaan.

Ghea berkata, pemilihan tema ‘Rasi Jiwa’ membawa falsafah mendalam mengenai proses penerimaan diri dan meraikan setiap fasa emosi manusia yang tidak selalunya indah.

“Rasi Jiwa menolak standard ‘harus baik-baik saja’. Ia adalah satu ajakan kepada anak muda untuk mengakui setiap proses yang dilalui, termasuklah ketika berada dalam fasa bingung, jatuh atau luka yang belum selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Konsert yang direka dengan elemen keintiman itu bakal menyaksikan interaksi emosi yang dekat antara Ghea dan penonton, selari dengan identiti muziknya yang terkenal dengan penceritaan jiwa.

Menambah keunikan konsert kali ini, kategori tiket yang ditawarkan dinamakan berasaskan fasa emosi kehidupan dengan harga bermula dari RM198 sehingga RM368.

Bagi mereka yang mahukan pengalaman eksklusif, zon VIP Suite ditawarkan pada harga RM5,000, manakala pas Meet & Greet pula berharga RM300.

Tiket pra-jualan bagi peminat yang telah mendaftar di laman web rasmi akan mula dibuka pada 10 Januari 2026 bermula jam 10 pagi. Manakala, jualan awam pula akan dibuka sehari selepas itu iaitu pada 11 Januari 2026.

Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web rasmi https://GheaRasiJiwaKL.com atau platform jualan tiket LOKET.

Komen
Loading...