Konsert Parade Hujan Di DFP Secara Maya, Saksikan Siaran Langsung di CloudJoi
- oleh Mohd Indera
- 18 Jun 2025 1:33 am

Buat julung kalinya, peminat muzik alternatif dan indie dari seluruh dunia berpeluang menyaksikan konsert kumpulan terkenal Indonesia, Parade Hujan, secara maya menerusi siaran langsung dari Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada Sabtu, 21 Jun 2025 jam 8.00 malam menerusi CloudJoi.
Langkah ini merupakan inisiatif baharu DFP dalam memperluas capaian penontonnya melalui platform digital, sekali gus membolehkan penonton menikmati persembahan berkualiti tinggi dari keselesaan rumah mereka sendiri di mana-mana sahaja tanpa sempadan.
Peminat yang tidak sempat membeli tiket fizikal atau mereka yang mempunyai kekangan mobiliti kini boleh menikmati konsert istimewa ini hanya dengan RM50 menerusi pautan yang tersedia di www.dfp.com.my.
Parade Hujan, yang sebelum ini dikenali sebagai Payung Teduh, mula mencipta nama sejak 2007 dengan gabungan unik muzik folk, jazz dan elemen tradisional Indonesia seperti keroncong. Ahli kumpulan ini terdiri daripada Is (vokal/gitar), Comi (kontrabas), Cito (dram) dan Ivan (trompet/gitarlele).
Konsert ini menjanjikan persembahan memukau dengan deretan lagu hits yang pernah melonjakkan nama mereka seperti Angin Pujaan Hujan, Berdua Saja, Akad, Selalu Muda, Rahasia, Ku Cari Kamu dan Tidurlah.
Ini merupakan kali kedua DFP menganjurkan siaran langsung konsert secara maya selepas kejayaan konsert Stacy pada 2023, membuktikan komitmen mereka untuk terus mendekatkan muzik berkualiti kepada khalayak pelbagai lapisan.
DFP dalam kenyataannya berkata, usaha ini bukan sahaja mengangkat muzik alternatif ke pentas lebih luas malah memperkukuh peranan DFP sebagai hab seni persembahan bertaraf antarabangsa.
Tiket siaran langsung konsert kini boleh didapati di laman rasmi: www.dfp.com.my