Ikuti Kami:

Konsert Muzik Kita: Generasi X Hingga Alpha Gegar MAEPS Serdang 2 Ogos Ini

Konsert Muzik Kita: Generasi X Hingga Alpha Gegar MAEPS Serdang 2 Ogos Ini

Konsert Muzik Kita bakal menyatukan pelbagai generasi penggiat dan pencinta muzik bawah tanah dari era 90-an hingga kini dalam sebuah acara epik yang dijadual berlangsung di MAEPS Serdang, Dewan A pada 2 Ogos 2025.

Acara anjuran Hard Global Ventures itu mengetengahkan barisan artis dan kumpulan muzik bebas yang telah mencorak landskap muzik alternatif tanah air.

Antara yang bakal membuat persembahan termasuk Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don & Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana, Salammuzik serta band jemputan dari Indonesia Nosstress.

Dalam sidang media yang berlangsung di Restoran Banafee Kuala Lumpur hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Hard Global Ventures Khairil Azam Pilus atau lebih dikenali sebagai Aril Pilus berkata konsert ini diangkat sebagai platform merentas masa yang membawa penonton menghayati perkembangan muzik bawah tanah dari Generasi X hingga Alpha.

“Sayang kalau penyatuan ini tidak dilakukan. Walaupun mereka tidak berada di arus perdana, pengaruh dan pencapaian artis-artis bawah tanah ini sangat luar biasa. Ada antara mereka telah dikenali di luar negara,” kata Aril.

Menurutnya matlamat utama Konsert Muzik Kita adalah untuk membuka ruang dialog antara generasi lama dan baharu dalam menikmati muzik secara saling menghormati.

“Dulu kita nikmati muzik bawah tanah di gig melompat, pogo dan penuh tenaga. Hari ini generasi baharu memilih cara healing. Gaya mungkin berbeza tapi muzik tetap jadi titik pertemuan kita semua,” jelasnya lagi.

Aril juga mengakui konsert ini lahir daripada semangat mencuba selepas beberapa percubaan kecil sebelum ini yang tidak mencapai tahap yang diharapkan.

Ilmu yang diperoleh daripada pengajian dalam bidang pengurusan industri kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) banyak membantu beliau merealisasikan projek ini.

Konsert Muzik Kita turut menerima penajaan daripada MJTX PERFUME dan SURENITY serta kerjasama rakan strategik seperti EVOVITY (Rakan F&B), SUTRAMAS (Beef Roti), ERA, GEGAR dan SINAR (Radio Rasmi) serta Restoran Banafee yang menjadi lokasi sidang media.

Tiket telah mula dijual sejak April dengan harga bermula RM75 hingga RM300++ (VIP) dan boleh dibeli menerusi platform www.ticketmelon.com.

Foto Oleh: Papadin.

Komen
Loading...