Konsert Metal Fighter: Sofea Legacy dan FTG Bersatu Gegarkan Warisan Hall
- oleh Mohd Indera
- 28 Jul 2025 1:01 am

Dua nama legenda dalam dunia muzik tanah air, Sofea Legacy dan FTG (Freedom That’s Gone) , bakal bersatu di pentas buat julung kali dalam Konsert Metal Fighter yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 16 Ogos 2025, jam 9 malam di Warisan Hall, Studio Sijangkang, Telok Panglima Garang.
Penganjuran konsert ini dilihat sebagai detik penting dalam kalendar muzik underground tempatan apabila dua kumpulan yang membina nama sejak era 80-an dan 90-an kembali bergabung, bukan sahaja untuk menghiburkan peminat setia, tetapi juga mengukuhkan semangat persaudaraan dalam kalangan penggiat muzik Malaysia.
Penganjur konsert, Mohamed Noor dari Mentari Merah Entertainment, berkata pemilihan Sofea dan FTG adalah berdasarkan permintaan ramai serta keinginan untuk menyatukan kembali peminat yang sudah lama tidak berkumpul.
“Fancy sendiri hubungi saya untuk cadangkan show ini. Bagi saya, ini bukan soal keuntungan. Ia soal semangat komuniti. Kita mahu hidupkan semula semangat lama, satukan semula sahabat-sahabat lama dan peminat setia,” katanya.
Menurutnya, kapasiti Warisan Hall mampu menampung kira-kira 300 penonton, dan seperti kebiasaannya, pembelian tiket dijangka rancak pada saat-saat akhir.
“Tiket awal hanya RM90. Jika beli semasa walk-in, harga RM100. Kita galakkan orang beli awal. Tempat pun selesa dan sesuai untuk peminat nikmati suasana sebenar konsert metal,” katanya.
Menurut penyanyi FTG, Tajul, penyatuan dua kumpulan ini menjadi simbolik kepada perjuangan muzik keras yang tidak pernah luntur.
“Kami bersama FTG sudah lebih 12 album. Malam tu bukan sekadar konsert, tapi malam pesta untuk semua yang cintakan muzik metal. Mari kita sama-sama gegar pentas dan hidupkan semula semangat zaman dulu,” katanya.
FTG tampil dengan formasi terkini yang menampilkan Tajul selaku vokalis, Mie (bass), Jamboo (gitar utama), Rezoy (gitar kedua) dan Megat (dram). Antara lagu-lagu yang bakal dibawakan termasuk Aku Tak Peduli dan Kau Jangan Kurang Ajar yang pernah melonjakkan nama mereka ke persada muzik tanah air
Pemain Gitar Utama Sofea, Fancy pula berkata mereka telah berlatih sejak dua hingga tiga bulan lalu bagi memastikan persembahan terbaik buat peminat.
“Kami serius dengan konsert ini. Kami tahu apa yang peminat mahu dan kami akan berikan yang terbaik,”
“Kita mahu tampilkan persembahan yang berbeza dan segar. Gabungan ini bukan sahaja nostalgia, tapi juga simbol tenaga baharu,” katanya.
Sofea Legacy tampil dengan barisan Fancy (gitar), Jay (gitar), Dauz (dram), R’man (bass) dan vokalis baharu, Mie. Mereka dijangka mempersembahkan lagu-lagu nostalgia seperti Hati Syaitan, Bungaku Kerinduan dan Bunga Padang Pasir.
Konsert Metal Fighter dijangka menjadi antara acara paling dinanti tahun ini dalam kalangan peminat muzik keras. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu penghormatan kepada warisan dan perjuangan muzik metal tempatan yang terus hidup merentas generasi.
Tiket boleh didapatkan menerusi:
– Mentari Merah II – 019 2407994
– Zam Pacak – 019 2123239
– Mohd R’man Mohamad Isa – 011 28326494