Ikuti Kami:

Konsert Mega ‘Legacy 30’ Siti Nurhaliza 10 Januari 2026

Konsert Mega ‘Legacy 30’ Siti Nurhaliza 10 Januari 2026

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, bakal mengukir sejarah tersendiri apabila mengadakan konsert mega bertajuk Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Konsert anjuran SN Legacy dengan sokongan AFFIN Bank dan Cuckoo itu diadakan sempena meraikan perjalanan tiga dekad kerjaya seni beliau yang penuh warna-warni.

Antara lagu-lagu popular yang dijangka menghiasi pentas termasuk Cindai, Aku Cinta Padamu, Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Biarlah Rahsia dan Seindah Biasa, yang sudah menjadi sebahagian daripada legasi beliau dalam dunia hiburan tanah air.

Kali terakhir Siti Nurhaliza mengadakan konsert berskala besar di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah pada tahun 2001 menerusi Konsert Siti Nurhaliza 2001, yang turut mencatat kehadiran puluhan ribu peminat.

Selepas lebih dua dekad, beliau kembali ke lokasi ikonik itu dengan produksi lebih besar bagi mengimbau kenangan lalu dan mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi paling berpengaruh negara.

“Inilah destinasi seterusnya dalam melakar sejarah Legacy 30 Siti Nurhaliza – perjalanan yang dipacu dengan semangat, keikhlasan dan kasih sayang.

“Nantikan pengumuman rasmi seterusnya, esok!,” tulisnya di Instagram (IG),

Pra-jualan tiket eksklusif akan dibuka khas untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit AFFIN bermula 1 Oktober 2025 jam 12 tengah hari sehingga 3 Oktober 2025 jam 12 tengah hari, dengan tempoh jualan terhad 48 jam dan dibuka kepada orang ramail bermula 3 ptg.

Harga bemula dari RM69 hingga RM1,599 (Super VIP). Tiket boleh didapati menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.

Dengan produksi berskala mega, pemilihan lokasi berprestij serta rangkaian lagu malar segar, konsert Legacy 30 diyakini bakal menjadi acara hiburan paling bersejarah tahun hadapan.

Komen
Loading...