Konsert Malam Simfoni Luka: For Revenge, Insomniacks & Midnight Fusic Kini di Zepp KL
- oleh MDaily Editor
- 22 Jan 2026 3:55 pm
Konsert berskala besar yang menggabungkan tiga nama gergasi muzik alternatif dan pop moden, ‘Malam Simfoni Luka’ diumumkan berpindah lokasi ke Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari ini bakal menyaksikan penyatuan kumpulan dari Indonesia, For Revenge, bersama dua kumpulan popular tempatan, Insomniacks dan Midnight Fusic.
Pihak penganjur dalam satu kenyataan media memaklumkan, pertukaran lokasi itu dibuat susulan beberapa faktor teknikal yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan kelancaran persembahan.
“Lokasi baharu (Zepp KL) dipilih kerana kemudahan teknikalnya yang lebih bersesuaian, selain mampu memberikan suasana yang lebih intim dan dekat antara artis dan para peminat.
“Bagi pemegang tiket yang telah membuat pembelian awal, anda tidak perlu risau kerana tiket sedia ada kekal sah untuk digunakan di lokasi baharu ini,” jelas kenyataan tersebut.

Konsert yang bakal bermula jam 8 malam itu menjanjikan satu pengalaman sonik luar biasa, menggabungkan elemen melankolik, cinta, dan harapan yang menjadi cerminan jiwa generasi muda hari ini.
Kredibiliti For Revenge sebagai kumpulan post-hardcore dengan lirik bermakna, disulam pula dengan pesona pop moden Insomniacks serta nuansa dreamy daripada Midnight Fusic dijangka bakal menggetarkan hati pencinta muzik serantau.
Selain rangkaian lagu hits, penonton juga akan disajikan dengan pencahayaan sinematik, susunan muzik live yang digubah semula secara eksklusif, serta paparan visual khas sepanjang konsert berlangsung.
Tiket bagi menyaksikan pertembungan tiga jenama besar ini telah mula dijual sejak 14 November lalu menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my.




