Ikuti Kami:

Konsert Legasi P. Ramlee Gabungkan Artis Hebat dan Maestro Muzik Tanah Air

Konsert Legasi P. Ramlee Gabungkan Artis Hebat dan Maestro Muzik Tanah Air

Barisan artis terkenal seperti Zainal Abidin, Jamal Abdillah, Mimifly, Nadeera, Liza Hanim, dan Ella bakal tampil memeriahkan Konsert Legasi P. Ramlee yang akan berlangsung pada 20 September 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Konsert ini dijangka menjadi pentas istimewa untuk menghargai karya abadi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, apabila lebih 30 lagu ikonik beliau dipersembahkan dalam susunan muzik baharu yang segar, tanpa menjejaskan keasliannya.

Susunan muzik ini akan dikendalikan oleh empat maestro terkemuka tanah air, iaitu Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, dan Michael Veerapan.

Keempat-empat maestro ini akan mengetuai orkestra besar yang terdiri daripada 60 pemuzik profesional, yang bertanggungjawab menghidupkan semula karya seni P. Ramlee dengan sentuhan moden tetapi penuh penghormatan terhadap keasliannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TanahAir Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh, konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi juga platform untuk menyatukan generasi muda dan lama.

“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita,” katanya.

Pengarah kreatif konsert, Adlin Aman Ramlie, pula menyatakan bahawa konsert ini akan menyuntik elemen moden tanpa mengetepikan keaslian karya asal.

“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya sentuhan empat figura maestro muzik tersohor.”

“Konsert ini bakal membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee yang akan meresap bukan hanya dalam melodi, tetapi juga dalam setiap babak yang menyentuh emosi, kekaguman selain mengimbau kenangan,” tambahnya.

Selain itu, konsert ini turut menyajikan persembahan istimewa oleh impersonator seperti P. Radhi, Danie Hasbullah, dan Musly Ramlee, yang akan membawa semula nostalgia melalui gaya dan suara lagenda seni negara itu.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini boleh didapati di laman web www.ticket2u.com.my mulai 26 Jun 2025. Penonton dinasihatkan mendapatkan tiket lebih awal kerana sambutan dijangka sangat menggalakkan.

Konsert Legasi P. Ramlee mendapat sokongan daripada FINAS dan MOTAC, dengan tajaan utama daripada 360 Entertainment dan Patriots Asia Sdn. Bhd. Penonton boleh mengikuti perkembangan konsert ini di platform media sosial rasmi.

Komen
Loading...