Ikuti Kami:

Konsert Lagenda Nada Murni Satukan Semula Hijjaz & Rabbani Disember Ini

Konsert Lagenda Nada Murni Satukan Semula Hijjaz & Rabbani Disember Ini

Setelah lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing, kumpulan nasyid lagenda Nada Murni bakal kembali bersatu menerusi Konsert Lagenda Nada Murni yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 7 Disember 2025, jam 8 malam.

Konsert anjuran Karri Talk Production bersama Westzone Entertainment ini menggabungkan dua kumpulan tersohor, Hijjaz dan Rabbani, yang merupakan sebahagian daripada anggota asal Nada Murni.

Gabungan ini dijangka membawa peminat mengimbau era kegemilangan nasyid 80-an dengan lagu-lagu popular seperti Di Pondok Kecil, Di Sini Kami Berkumpul, Tanpa Agama dan banyak lagi.

Nada Murni yang mula bertapak sejak 1987 dikenali sebagai pelopor nasyid moden di Malaysia. Selepas perpecahan pada 1994, lahirlah dua kumpulan besar iaitu Hijjaz dan Rabbani yang terus mewarnai industri muzik tanah air.

Kini, setelah lebih 30 tahun, gabungan semula mereka dijangka menjadi konsert yang dinanti-nantikan peminat nasyid seluruh negara.

Lebih istimewa, pentas mega ini turut menampilkan artis jemputan seperti Saujana, Akhil Hai dan Pak Dinie yang bakal menghangatkan suasana dengan persembahan eksklusif.

Menurut wakil penganjur Karri Talk Production, En Mohd Shaiful Azham bin Rozali, idea menganjurkan konsert ini lahir daripada pengalamannya sendiri sebagai peminat nasyid sejak zaman sekolah agama.

“Bila melihat sambutan terhadap konsert nasyid kebelakangan ini, kami nampak peluang besar untuk mengangkat semula jenama Nada Murni. Secara peribadi, sewaktu belajar di sekolah agama sekitar tahun 1999  irama Nada Murni inilah yang selalu menemani saya. Malah, saya juga pernah mewakili kumpulan nasyid sekolah. Dari situlah lahir ilham untuk membawa semula konsert ini ke pentas besar,” katanya.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, menyifatkan konsert ini sebagai peluang berharga yang jarang sekali berlaku.

“Alhamdulillah, Rabbani dan Hijjaz sangat teruja diberi kepercayaan untuk bersama dalam Konsert Lagenda Nada Murni. Sebahagian daripada kami sudah melalui perjalanan panjang sejak 1986, dan sebahagian lagi bermula pada 1991,”

“Walaupun sering bertemu dalam acara kecil, jarang sekali kami digabungkan dalam sebuah konsert berskala besar seperti ini. Melihat kepada sambutan peminat, baik yang lama mahupun generasi baharu, kami yakin konsert ini akan menjadi detik istimewa yang sukar dilupakan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa konsert kali ini memberi peluang kepada Rabbani untuk mengetengahkan kelainan berbanding konsep terdahulu.

“Konsep Nada Murni ini sangat besar dan berbeza. Kalau sebelum ini Rabbani lebih sinonim dengan persembahan moden serta berimej kontemporari, Nada Murni pula lebih dekat dengan pendekatan tradisi dan mesej yang mendalam,”

“Gabungan ini pasti mencipta impak yang lebih besar. Kami percaya konsert ini akan memberi bukan sahaja hiburan, tetapi juga pengisian rohani yang menyentuh hati,” tambahnya lagi.

Sementara itu, ketua kumpulan Hijjaz, Munif Ahmad, berkata konsert ini bakal menampilkan konsep persembahan yang cukup istimewa dan menyentuh jiwa.

“Alhamdulillah, setelah 35 tahun, kami kembali dalam sebuah program yang besar. Kalau sebelum ini ada juga perjumpaan-perjumpaan kecil, kali ini kami benar-benar mahu tampilkan sesuatu yang luar biasa. Persembahan akan menumpukan lagu-lagu Nada Murni, dan konsepnya tidak sama dengan kumpulan nasyid lain,”

“Kami akan masukkan elemen sajak, penceritaan, naratif dan muzik penuh dengan pemuzik profesional. Harapannya, penonton bukan sahaja datang untuk berhibur, tetapi benar-benar merasai penghayatan dan mesej yang disampaikan,” katanya.

Munif turut menambah, Nada Murni mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

“Kalau dulu orang hadir dan boleh menitiskan air mata hanya dengan mendengar persembahan kami, itulah yang ingin kami hidupkan semula. Kami mahu penonton menghayati setiap bait lirik dan alunan muzik hingga mereka merasakan keinsafan. Itu kekuatan Nada Murni, bukan sekadar hiburan tetapi pengalaman rohani yang meresap ke dalam hati,” jelasnya.

Konsert selama dua jam ini bakal menampilkan lebih 30 lagu, menjanjikan sebuah malam penuh syahdu yang sarat dengan alunan nasyid bernostalgia serta menyentuh jiwa penonton.

Kategori tiket dibahagikan kepada Lelaki, Wanita dan Keluarga, manakala harga tiket ditawarkan pada RM258, RM238, RM218 dan RM128 dan tiket mula dijual pada 26 September 2025 di Ilasso Tickets dan Fantopia.

Komen
Loading...