Konsert KITA Suara Anti Buli 2025 Satukan Nadeera, Alpha, Bella Astillah, Wani Kayrie, Datuk Ramli Sarip X Cradle Band
- oleh MDaily Editor
- 14 Oct 2025 5:23 pm

Barisan artis terkenal tanah air bakal bersatu di bawah satu pentas dan satu suara menerusi Konsert KITA Suara Anti Buli 2025, sebuah inisiatif istimewa anjuran Nusavue yang menyatukan semangat keberanian dan kasih sayang dalam menentang budaya buli di Malaysia.
Konsert berimpak sosial ini akan berlangsung pada 7 Disember 2025 (Ahad), jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur, dengan tema “Berani Bersuara, Bersama KITA” yang menyeru rakyat Malaysia agar tidak berdiam diri terhadap sebarang bentuk penindasan.
Antara barisan artis yang bakal menghangatkan pentas ialah Datuk Ramli Sarip x Cradle Band, Alpha, Bella Astillah, Nadeera, Wani Kayrie dan Liza Aziz (undangan khas).
Gabungan pelbagai generasi dan genre muzik ini membuktikan bahawa seni mempunyai kekuatan besar untuk menyatukan masyarakat dan membawa perubahan positif.
Lebih daripada sekadar hiburan, Konsert KITA Suara Anti Buli 2025 menjadikan muzik sebagai wadah memperkukuh kesedaran, empati dan keberanian dalam kalangan rakyat, khususnya pelajar dan keluarga.
“Buli bukan sekadar masalah sekolah tetapi juga cerminan masyarakat. Kita mahu rakyat Malaysia bangkit bersama dan bersuara,” kata wakil Nusavue.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik dan organisasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menjayakan gerakan “Suara Anti Buli”, termasuk Yayasan Ikhlas, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Shah Alam, SULAM (Service Learning Malaysia University for Society): DOKPANIC Special Edition, AQA, Right Balance Private, La Denta, Mic Bocor, serta Gempak sebagai rakan media digital.
Tiket Konsert KITA Suara Anti Buli 2025 ditawarkan pada harga bermula RM198 hingga RM528 dan akan mula dijual bermula 14 Oktober 2025 melalui www.myticketempire.com dan www.nusavue.my