Ikuti Kami:

Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun Sarat Emosi & Penuh Makna

Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun Sarat Emosi & Penuh Makna

Foto Oleh: Papadin.

Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun terus mencipta fenomena apabila berlangsung penuh emosi dan sarat dengan mesej kasih serta syukur.

Lebih dua dekad mewarnai industri, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi turut menjadi perjalanan refleksi terhadap karya, perjuangan dan doa sepanjang 25 tahun Inteam berkarya.

Produksi pentas yang rapi, susunan muzik segar dan alunan vokal harmoni memperkukuh identiti kumpulan nasyid tersohor itu, sekali gus menjadikan konsert ini lebih daripada sekadar hiburan.

Selain meraikan perjalanan seni, konsert bersejarah ini turut menjadi simbol persahabatan serta ikatan erat antara Inteam dengan para peminat yang terus memberi sokongan sejak awal penubuhan mereka.

Syah Inteam menyatakan rasa syukur yang mendalam terhadap sambutan luar biasa peminat sepanjang konsert berlangsung.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua peminat yang hadir dan menyokong kami sepanjang malam ini. Kami tidak menyangka sambutan yang begitu menggalakkan dan penuh semangat. Kehadiran serta doa kalian memberi kekuatan dan inspirasi kepada kami untuk terus berkarya.,” ujar Syah.

Sebagai kemuncak persembahan, Inteam menghadiahkan barisan lagu popular serta karya baharu yang dirangkai dengan susunan segar.

Antara yang dipersembahkan termasuk medley pembukaan Sentuhanmu, Doa Seorang Kekasih dan Hembusan Kasturi, selain komposisi baharu bertemakan Cinta Illahi, Sayang Nabi dan Kasih Manusia yang disampaikan oleh vokalis latar.

Lagu lain yang mengisi malam penuh makna itu ialah Nurkasih, Siti Khadijah, Akrab Persahabatan, serta Kalimah Cinta.

Kolaborasi bersama Khai Bahar mencuri perhatian menerusi Impian Kasih, sementara persembahan duet istimewa Kias Cinta bersama Sallman Elkhoyri, anak kepada arwah Suhaimi, memberikan momen penuh emosi.

Segmen medley menampilkan gabungan karya popular seperti Sentuhanmu, Doa Seorang Kekasih, Hembusan Kasturi, KeredhaanMu, Damba Kasih, Tanpamu, Harum Setangkai Doa dan Kepastian, selain penampilan Yusuf, Husaini, Zakiy, dan Mateen yang menambah seri persembahan.

Malam turut dimeriahkan dengan kemunculan khas kumpulan legenda Hijjaz yang membawakan lagu ikonik Sumaiyah secara acapela, disertai nyanyian bersama peminat yang memenuhi dewan, menjadikan suasana lebih mengharukan.

Antara momen menarik konsert ialah semasa lagu Setanggi Syurga, pewangi khas turut disemburkan ke arah penonton, memberikan aroma yang menyemarakkan lagi pengalaman persembahan secara multisensori.

Turut dipersembahkan ialah Dia Muhammad, Taybah, Pemergianmu, Wanita, Ratu Syahadah, Setanggi Syurga (2004), Kasih Kekasih, Ya Rabbi Ya, Surat Cinta, Segenggam Tabah, Selamatkan Dunia, Selimut Kasih, Dia, Solatullah dan penutup istimewa Kasih Kekasih.

Konsert mencapai kemuncak apabila Inteam mengumumkan konsert baharu bertajuk Inteam Nur Kasih yang akan berlangsung di Axiata Arena pada 1 Februari 2026, anjuran Icon Entertainment, sekali gus memberi sesuatu yang dinantikan peminat mereka.

Komen
Loading...