Ikuti Kami:

Konsert Jelajah Dunia Nick Carter: “Who I Am” Singgah di Malaysia

Konsert Jelajah Dunia Nick Carter: “Who I Am” Singgah di Malaysia

Peminat setia Backstreet Boys di Malaysia bakal menyaksikan satu malam penuh nostalgia apabila ahli kumpulan ikonik tersebut, Nick Carter, kembali ke Kuala Lumpur dengan konsert solo jelajah dunianya, Who I Am.

Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 26 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur, hasil kolaborasi antara Hitman Solutions dan Happymoon.

Selepas lebih sedekad sejak persembahan terakhirnya bersama Backstreet Boys di Stadium Negara pada tahun 2015, Nick Carter kembali ke pentas Malaysia untuk memberikan pengalaman unik kepada peminat.

Dengan pelancaran tiga single terbaru seperti Superman, Made For Us, dan Never Break My Heart (Not Again), konsert ini menjanjikan gabungan karya solonya, lagu-lagu ikonik Backstreet Boys, serta pilihan peribadi Nick Carter sendiri.

Menurut Rohit Rampal, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, dan Kesavan Purusotman (KC), Pengarah Urusan Happymoon, pemilihan Nick Carter sebagai artis pembukaan tahun 2025 adalah keputusan tepat.

“Nick Carter telah membentuk satu era melalui muziknya bersama Backstreet Boys. Kehadirannya bakal menghidupkan semula kenangan zaman remaja peminat sambil mempersembahkan karya solonya yang unik,” ujar mereka.

Nick Carter, yang telah menjangkaui tiga dekad dalam dunia hiburan, dikenali bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga pelakon, penerbit, dan aktivis. Album solo pertamanya, Now or Never (2002), mendapat pengiktirafan emas di Amerika Syarikat, Jepun, dan Kanada.

Bersama Backstreet Boys, beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan boyband paling laris sepanjang masa, dengan lagu-lagu seperti Everybody, I Want It That Way, dan As Long As You Love Me yang terus menjadi kegemaran ramai.

Tiket konsert Nick Carter: Who I Am di Malaysia akan mula dijual melalui pra-jualan khas untuk ahli kelab peminat Nick Carter pada 10 Disember 2024 mulai jam 12 tengah hari. Jualan tiket umum pula dibuka pada 12 Disember 2024.

Berikut adalah kategori tiket yang ditawarkan:

  • CAT 1 (PREMIUM SEATS): RM448
  • CAT 2 (NORMAL SEATS): RM348
  • ROCKZONE (FREE STANDING): RM248

Bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman eksklusif, pakej VIP Box untuk 10 orang boleh didapati pada harga RM8,888. Tempahan untuk pakej ini dan sebarang pertanyaan lain boleh dibuat melalui talian +6012-265 5783.

Layari laman web rasmi www.hitmanlive.com untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan malam penuh magis bersama Nick Carter, meraikan muzik yang telah membentuk generasi!

Foto Kredit : Neversea Festival

Komen
Loading...