Ikuti Kami:

Konsert Istimewa “A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku” Bakal Gegar Kuala Lumpur

Konsert Istimewa “A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku” Bakal Gegar Kuala Lumpur

Peminat muzik bakal disajikan dengan persembahan eksklusif apabila Orange International mengumumkan konsert sulung bertajuk “A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku” yang akan berlangsung pada 30 November 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert ini menampilkan barisan penyanyi wanita kelahiran Sabah yang telah mencipta nama dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa.

Antara yang akan membuat persembahan ialah Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie, dan Didi Astillah.

Dato’ Mohd Fadzli Idrus, Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama semua penyanyi terkenal kelahiran Sabah dihimpunkan di satu pentas sebagai penghargaan atas pencapaian mereka dalam industri muzik.

“Ini adalah kali pertama kami menghimpunkan kesemua penyanyi kelahiran Sabah terkenal dalam satu pentas untuk menghargai pencapaian cemerlang mereka dalam industri muzik. Kami mahu mempersembahkan bakat-bakat ini dalam sebuah acara yang belum pernah diadakan sebelum ini.”

Menurut beliau, konsert ini adalah usaha untuk mengangkat platform artis-artis berbakat dari Sabah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ini adalah satu penghormatan besar buat mereka yang telah lama mencipta nama. Antara pencapaian besar penyanyi-penyanyi yang terlibat termasuklah Bella yang dinamakan sebagai “Celebrity of The Year” di TikTok Awards Malaysia 2024, serta Marsha, Adira, Stacy, dan Nikky yang telah memenangi pelbagai anugerah berprestij.

Tambah Dato’ Fadzli lagi, kejayaan Orange International dalam penganjuran konsert sebelumnya seperti Radja & Ella, Wali Band, dan Drama Band telah menjadi tanda aras buat acara ini.

“Kami sentiasa berusaha membawa kelainan dalam setiap penganjuran kami, dan konsert ini adalah peluang terbaik buat peminat muzik untuk menikmati persembahan yang luar biasa.”

Tiket untuk konsert ini kini boleh didapati menerusi laman web Ticket2u.com.my/sumandak dengan pelbagai kategori, termasuk VIP Box dengan harga RM6999 dan tempat duduk khas berharga RM349.

Pihak penganjur tidak menolak kemungkinan untuk menambah hari kedua sekiranya jualan tiket menunjukkan sambutan yang memberangsangkan. Mereka juga menjanjikan kejutan istimewa buat para penonton pada malam konsert tersebut.

Komen
Loading...