Konsert Indiescovery 2026 Satukan 4 Legenda Indie Malaysia Di Pentas Zepp KL Julai Ini
- oleh MDaily Editor
- 22 May 2026 7:19 pm
Pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur bakal menyaksikan impak luar biasa arena muzik alternatif tempatan apabila empat nama besar indie Malaysia disatukan dalam satu malam bersejarah menerusi Konsert Indiescovery 2026 pada 18 Julai depan.
Konsert anjuran RR Entertainment itu bakal menggabungkan kumpulan legenda merentas generasi iaitu Butterfingers, Bunkface, Bittersweet, dan Masdo, selain menampilkan band muda meningkat naik, Noise, sebagai band pembuka (opening act).
Wakil penganjur RR Entertainment, Herda berkata, pemilihan barisan artis tersebut dilakukan secara teliti bagi memastikan konsert ini menjadi sebuah platform utuh yang meraikan evolusi dan identiti tulen muzik indie tempatan.
”Walaupun kami merupakan pengurus acara (EO) baharu dalam mengendalikan konsert berskala besar, kami mengambil pendekatan untuk belajar dari bawah dan tidak mahu terus mendongak ke atas. Kami percaya impak gabungan nama-nama besar ini mampu mencetuskan gelombang tersendiri.
”Kami mahu menjadikan konsert ini sebagai sebuah ‘perayaan’ muzik indie Malaysia. Tambahan pula pada masa kini, pasaran tempatan banyak menerima pengaruh luar, jadi ini adalah ruang terbaik untuk kita mempertahankan kewujudan dan keunikan bunyi tempatan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama dengan barisan pengurusan artis terlibat, Herda memuji komitmen tinggi serta keserasian yang ditunjukkan oleh kesemua kumpulan demi menjayakan malam penuh nostalgia itu.
Pada konsert itu nanti, kumpulan otai grunge negara, Butterfingers dijangka membawakan persembahan istimewa bersempena album ikonik mereka, “Transcendence X Butter Worth Pushful”, manakala ikon pop punk Bunkface bersiap sedia menggegarkan pentas dengan tenaga luar biasa mereka.
Sentuhan emosi brit-pop pula akan digalas oleh Bittersweet, sementara Masdo bakal melengkapkan malam tersebut dengan tarikan irama retro moden yang menjadi kegilaan generasi masa kini.
Dalam pada itu, Herda turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan padu Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures yang menyokong penuh penganjuran konsert berkenaan.
”Kami sangat menghargai sokongan kerajaan. Tidak semua negara mempunyai kesungguhan atau inisiatif seperti ini untuk meraikan dan memastikan industri seni tempatan, khususnya muzik independen, terus subur,” katanya lagi.
Menyasarkan kehadiran lintas generasi, konsert ini turut mencatatkan petunjuk positif apabila tiket bagi kategori CAT 3 Seating dilaporkan sudah hampir 90 peratus terjual walaupun tarikh acara berbaki dua bulan lagi.
Tiket bagi Konsert Indiescovery 2026 yang dijadualkan bermula jam 8.00 malam itu ditawarkan melalui beberapa kategori termasuk CAT 1 Standing, CAT 2 Standing, CAT 3 Seating, CAT 4 Seating dan VIP Box secara dalam talian menerusi platform Ticket2U (https://www.ticket2u.com.my/event/49944).
