Kumpulan perkusi kontemporari terkemuka Malaysia, HANDS Percussion, bakal mengadakan konsert terbaharu mereka berjudul Camaraderie pada 14 hingga 16 November 2025 di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), 1 Utama.
Konsert ini mengetengahkan gabungan karya klasik yang diberi nafas segar, persembahan rentas budaya serta karya baharu yang menekankan ikatan kemanusiaan, kekeluargaan dan warisan seni.

“Camaraderie membawa maksud semangat persaudaraan dan menerusi muzik perkusi, mesej ini diraikan sebagai bahasa sejagat yang mampu menyatukan generasi dan komuniti,” kata wakil penganjur.
Antara karya utama yang bakal dipersembahkan ialah Kenangan, ciptaan Teuku Umar, pengasas Gangsapura Gamelan, yang diinspirasikan daripada perjalanan seni beliau bersama HANDS sepanjang 17 tahun.
Konsert itu turut menampilkan karya berasaskan budaya Teochew yang menggabungkan irama tradisional dan imejan mitologi dengan pendekatan kontemporari.

Selain itu, persembahan oleh Pemuzik Utama HANDS, Jimmy Ch’ng bersama anak perempuannya, serta penampilan Yanhou, 10 tahun, anggota termuda kumpulan tersebut, dijangka menjadi antara tarikan utama konsert.
Konsert itu turut melibatkan kerjasama dengan ITA Ensemble, DeafBeat (kumpulan perkusi cacat pendengaran pertama Malaysia) serta pemuzik guzheng, gamelan dan selo bagi memperkayakan kepelbagaian bunyi serta warna budaya.
Diterbitkan bersama Akademi HANDS Percussion, konsert Camaraderie bertujuan memperkukuh kedudukan kumpulan itu sebagai peneraju seni persembahan Malaysia selain memartabatkan tradisi 24 Gendang Perayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Konsert akan berlangsung pada 14 Nov, 8 malam; 15 Nov, 3 petang dan 8 malam; serta 16 Nov, 11 pagi dan 4 petang. Harga tiket ialah RM88, RM128, RM188 dan RM268.
Promosi awal ditawarkan sehingga 15 Okt dengan diskaun 15 peratus bagi semua tiket individu serta pakej beli tiga tiket percuma satu.
Tiket boleh dibeli melalui laman rasmi Onetix di pautan https://onetix.com.my/events/camaraderie-hands-percussion-concert-2025/463
.




