
Penyanyi bersuara lunak Hafiz Suip bakal menghidupkan malam penuh emosi menerusi konsert eksklusif bertajuk Di Sebalik Aku yang dijadual berlangsung pada 1 November 2025 di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment ini bukan sekadar persembahan muzik biasa tetapi satu perjalanan jiwa dan emosi yang mengupas sisi mendalam seorang Hafiz Suip daripada kisah perjuangan cinta kehilangan hingga penerimaan diri.
Sebelum ini Hafiz pernah mengadakan konsert solo di negeri kelahirannya Sarawak yang menyaksikan sambutan luar biasa daripada peminat tempatan.
Namun Di Sebalik Aku merupakan konsert solo berskala besar pertama beliau di ibu negara sekali gus menjadi titik penting dalam kerjaya seninya selepas lebih satu dekad bergiat aktif dalam industri.
Pentas konsert kali ini dijangka menjadi platform buat Hafiz menyampaikan mesej peribadi melalui lagu-lagu malar segar seperti Awan Nano Bahagiamu Deritaku Ombak Rindu Ku Akui dan banyak lagi yang kesemuanya terpilih dengan makna tersendiri bagi penyanyi itu.
Pengumuman konsert dibuat sejurus selepas SAH Entertainment menyiarkan siri video temu bual khas tiga episod bersama Hafiz yang memperlihatkan sisi jujur dan rentetan kisah peribadi yang jarang dikongsi kepada umum.
Siri tersebut membuka dimensi baharu peminat dalam memahami jiwa sebenar di sebalik figura Hafiz Suip menjadikan konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi pengalaman rohani dan emosional buat penonton.
Tiket akan mula dijual pada 29 Julai 2025 dengan jualan presale SAH dibuka pada jam 10 pagi diikuti jualan umum pada jam 12 tengah hari melalui platform Ticketmelon.
Harga tiket konsert ditawarkan bermula RM188 hingga RM788, dengan kategori tertinggi Bahagiamu Deritaku (RM788) merangkumi sesi Meet & Greet, lanyard VIP eksklusif, kad VIP dan poster bertandatangan.
Dengan susunan tempat duduk yang strategik pengalaman audio visual yang dijanjikan dan susunan lagu penuh emosi konsert Di Sebalik Aku menjanjikan satu malam yang bukan sahaja menggamit kenangan tetapi menyentuh hati setiap yang hadir.
Konsert ini turut mendapat sokongan media rasmi seperti ERA SINAR Gegar THR dan Gempak.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket sila layari www.ticketmelon.com.