Ikuti Kami:

Konsert ‘Guitar Serenade’ Bersama José María Gallardo del Rey Bersama MPO

Konsert ‘Guitar Serenade’ Bersama José María Gallardo del Rey Bersama MPO

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC bakal bergema dengan alunan muzik klasik dan irama Sepanyol apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mementaskan konsert bertemakan Guitar Serenade pada 22 November 2025, jam 8.00 malam.

Konsert istimewa ini akan dipimpin oleh konduktor tersohor John Axelrod dan menampilkan pemain gitar ternama dunia, José María Gallardo del Rey, yang kembali ke pentas DFP selepas penampilan terdahulunya bersama MPO.

Gallardo del Rey dikenali sebagai maestro gitar Sepanyol yang memiliki keupayaan luar biasa menggabungkan kehalusan muzik klasik dengan kehangatan dan ekspresi flamenco, menjadikan setiap persembahannya sarat dengan jiwa dan emosi.

Menerusi konsert ini, penonton bakal dibawa menyelusuri perjalanan muzik ke Sepanyol menerusi karya agung Rimsky-Korsakov, Capriccio espagnole, yang menggambarkan suasana penuh warna dan semangat kota Granada.

Konsert turut menampilkan karya indah Pavane for a Dead Princess oleh Ravel yang terkenal dengan melodi lembut dan gaya tarian istana Sepanyol.

Kemuncak malam bakal diserikan dengan persembahan karya Rodrigo yang tidak lapuk dek zaman, Concierto de Aranjuez, salah satu konsert gitar paling terkenal di dunia.

Karya ini bukan sahaja menjadi kegemaran ramai tetapi turut diabadikan dalam pelbagai bentuk susunan muzik termasuk jazz dan rakaman orkestra antarabangsa.

Sebagai penutup, MPO akan mempersembahkan karya klasik Ravel berjudul Mother Goose, yang diinspirasikan daripada kisah dongeng kanak-kanak dan membawa penonton ke dunia penuh keajaiban serta fantasi.

Selain konsert utama, satu bengkel gitar eksklusif bersama José María Gallardo del Rey akan diadakan pada 20 November 2025, jam 6.00 petang di DFP, memberi peluang kepada peminat muzik untuk berinteraksi dan mempelajari seni permainan gitar daripada maestro itu sendiri.

Tiket konsert Guitar Serenade dijual pada harga antara RM229 hingga RM499, bergantung kepada kategori tempat duduk. Pembelian tiket boleh dibuat melalui laman rasmi MPO di www.mpo.com.my.

Komen
Loading...