Konsert GENKRU Tambah Hari Ketiga: Puncak Sambutan Legenda KRU pada 10 Mei 2025
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Sebuah sejarah baharu bakal dicipta apabila Konsert GENKRU oleh kumpulan legenda KRU tidak hanya berlangsung dua hari, tetapi dilanjutkan ke hari ketiga pada 10 Mei 2025 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.
Hari tambahan ini dijangka menjadi kemuncak sambutan buat para peminat yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan persembahan ikonik mereka.
Keputusan untuk menambah hari ketiga dibuat selepas sambutan luar biasa terhadap tiket untuk konsert yang dijadualkan pada 3 dan 4 Mei 2025. Menurut pengasas ICON ENTERTAINMENT, Iman Tang, hari ketiga ini bukan sekadar memenuhi permintaan peminat, tetapi juga peluang untuk KRU terus membuktikan pengaruh mereka sebagai kumpulan rap unggul.
“10 Mei 2025 dipilih dengan penuh pertimbangan, memberi masa yang cukup untuk persediaan teknikal dan jadual artis. Ia menjadi malam istimewa untuk mereka yang tidak berpeluang mendapatkan tiket lebih awal,” jelas Iman.
Hari ketiga Konsert GENKRU dijangka membawa pengalaman yang lebih istimewa, dengan beberapa kejutan yang dirancang khusus untuk para peminat.
Penganjur menjanjikan persembahan memukau selama 45 minit tambahan pada malam itu, menjadikannya malam paling panjang dalam siri konsert ini.
“Kami mahu menjadikan malam terakhir ini sebagai penutup yang penuh makna, menggabungkan elemen nostalgia dan kejutan untuk semua yang hadir,” tambah Iman lagi.
Tiket untuk hari ketiga akan mula dijual kepada umum pada 8 Januari 2025, jam 3 petang, menerusi laman web ticket2u.com.my/kru3.
Pra-jualan eksklusif untuk pemegang kad Maybank akan bermula pada 7 Januari 2025, jam 11 pagi.
Konsert GENKRU pada 10 Mei 2025 bukan sekadar persembahan tambahan, tetapi malam yang dirancang untuk menutup tirai dengan penuh gemilang.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Dapatkan tiket anda dan raikan momen bersama KRU, kumpulan yang telah mencorakkan industri muzik Malaysia selama lebih tiga dekad.