
“Mantaplah GenKRU!” Itu ucapan Norman Abdul Halim kepada ribuan peminat yang hadir di Axiata Arena malam tadi. Sorakan tanpa henti daripada penonton menjadi bukti bahawa kumpulan KRU masih memiliki tempat istimewa di hati peminat.
Malam pembukaan KONSERT GENKRU bermula tepat jam 9.10 malam dan berjaya memukau penonton dengan gabungan lagu-lagu klasik dan baharu.
KRU merupakan kumpulan pop dan hip hop Malaysia yang ditubuhkan pada 1992. Ia dianggotai oleh tiga bersaudara Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim.
Konsert ‘sold out’ ini dimulakan dengan lagu “Fanatik,” diikuti oleh “Malam Kita” dan “Oh La La,” yang terus menaikkan semangat ribuan peminat.
Malam itu juga penuh dengan kejutan apabila Adam AF membuat penampilan untuk lagu “Terhangat di Pasaran,” manakala lagu “Perpisahan Terasing” dipersembahkan sebagai penghormatan kepada Allahyarham Sudirman dengan dinyanyikan secara ‘duet’ bersama.
Selain itu, KRU turut menyampaikan medley lagu-lagu ciptaan dan terbitan mereka seperti ‘Separuh Masa’ (The Lima), ‘Sedetik Lebih’ (Anuar Zain), Romancinta (MOJO) dan ‘Hai Hai Bye Bye’ (Ezlynn), yang diberi sentuhan baru.
KRU juga dikenali kerana penggunaan teknologi terkini; untuk lagu ‘2’, mereka telah menampilkan ‘fan cam’ di skrin utama, di mana mereka sendiri memegang kamera dan mengarahkannya ke arah penonton.
Lagu baharu daripada album Kaset seperti “Voodoo” dan “One More Time” turut dipersembahkan. Ia menjadi tanda bahawa KRU masih mampu membawa pembaharuan dalam muzik mereka sambil kekal relevan.
Peminat turut disajikan dengan penampilan istimewa kumpulan ELITE menerusi lagu “Di Pintu Syurga.” KRU juga turun ke pentas tengah untuk mendekati peminat sambil menyanyikan lagu seperti “Dekat Padamu”, “Wanita” dan “Apa Saja”.
Sepanjang konsert ini, peminat berpeluang berinteraksi dan bergambar bersama versi holografik KRU menerusi teknologi canggih HoloBox AI, yang dibawakan khas oleh BYOND Asia dan WebTVAsia selaku Rakan AI Rasmi.
Ini sekaligus menjadikan KRU kumpulan muzik Melayu pertama yang menggunakan teknologi HoloBox AI.
Konsert GenKRU malam pertama diakhiri dengan dua lagu hits, “Jangan Lafazkan” dan “Awas,” yang membuatkan penonton terus bersorak hingga ke akhir persembahan pada jam 11.40 malam.
Dua malam pertama konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment ini telah pun ‘sold out’. Namun, peminat masih berpeluang mendapatkan tiket untuk malam ketiga yang akan berlangsung pada Sabtu, 10 Mei menerusi laman web Ticket2u.com.my.
Foto Oleh: Bangsawan Pictures.