Konsert ‘For You Nourul’ di Zepp KL 30 Mei, Umum Kemunculan Khas Mimifly
- oleh MDaily Editor
- 1 Apr 2026 1:24 pm
Penyanyi, Nourul Depp, mengesahkan bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert solo For You Nourul yang kini dijadualkan semula pada 30 Mei 2026.
Penukaran tarikh asal yang sepatutnya berlangsung pada 17 April itu dibuat atas faktor profesionalisme, termasuk menghormati sambutan Aidilfitri dan Aidiladha serta memberi ruang kepada peminat untuk membuat persediaan bajet selepas musim perayaan.
Nourul, 49, berkata konsert ini merupakan manifestasi fasa baharu kehidupannya yang kini tampil dengan minda dan visi lebih segar selepas lebih tiga dekad menghambakan diri dalam dunia seni.

“Konsert ini akan menjadi satu ‘preview’ kepada fasa baru dalam perjalanan saya. Ia adalah permulaan kepada satu bab baru dengan mindset, tenaga, dan visi yang berbeza.
“Pihak penganjur dan saya bersetuju tarikh 30 Mei adalah yang paling tepat bagi memastikan semua pihak dapat meraikan malam keraian ini dalam suasana lebih selesa dan meriah,” katanya.
Menambah kehangatan malam itu nanti, penyanyi rap dinamik, Mimifly, diumumkan sebagai artis undangan khas yang bakal berkongsi pentas bersama Nourul.
Mimifly menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghormatan besar memandangkan beliau membesar dengan karya-karya hebat milik pemenang trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) itu.
Selain penampilan artis jemputan, Nourul turut mempertaruhkan kredibiliti pemuzik tersohor, Eddie Slam, yang bertindak sebagai pengarah muzik bagi memastikan kualiti produksi berada pada tahap tertinggi.

Menariknya, konsert ini turut menandakan langkah sulung syarikat miliknya, ND Entertainment, sebagai penganjur rasmi selepas mengambil alih tugas tersebut daripada penganjur terdahulu.
“Hari ini merupakan satu langkah penting bukan sahaja untuk saya sebagai artis, tetapi juga untuk ND Entertainment. Saya sedar, jika saya memilih untuk membatalkan konsert ini, mungkin saya tidak akan dapat meningkatkan standard saya sebagai seorang penyanyi dan usahawan,” jelasnya lagi.
Peminat yang ingin mengubati rindu boleh mendapatkan tiket yang dinamakan sempena judul lagu hit beliau iaitu Sehati Sejiwa (RM198), Cinta Azali (RM298), Keliru (RM328), Kerana Terluka (RM388) serta kategori eksklusif VIP Box (RM6,000).
Segala pembelian boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.




