Ikuti Kami:

Konsert ‘For You Nourul’ Di Zepp KL 30 Mei Ini

Konsert ‘For You Nourul’ Di Zepp KL 30 Mei Ini

Peminat penyanyi versatil, Nourul Wahab, kini boleh menarik nafas lega apabila tarikh baharu konsert solo sulungnya, For You Nourul, secara rasmi dijadualkan berlangsung pada 30 Mei 2026 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Keputusan penjadualan semula daripada tarikh asal pada April itu dibuat oleh pihak penganjur, ND Entertainment, bagi memastikan kualiti produksi berada pada tahap tertinggi, selain menghormati sambutan Aidilfitri dan Aidiladha yang bakal menjelang.

Penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Kerana Terluka itu menyifatkan penukaran tarikh ini sebagai satu hikmah yang memberi ruang lebih luas untuk persiapan vokal dan penyusunan semula barisan artis jemputan.

“Antara sebab tarikh ditukar adalah bagi mencapai kata sepakat untuk penyusunan semula jadual perjalanan konsert susulan pertukaran penganjur lama kepada syarikat saya sendiri.

“Saya mahu konsert ini menjadi momen terindah buat kita semua selepas lebih tiga dekad saya menghambakan diri dalam industri seni,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, wakil ND Entertainment menjelaskan bahawa pemilihan tarikh 30 Mei itu adalah sangat strategik bagi memberi keselesaan kepada peminat dari sudut kewangan.

“Kami percaya tarikh ini paling sesuai bagi memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan. Kami mahu semua yang hadir dapat berpesta dalam suasana yang lebih selesa dan meriah tanpa tekanan,” jelasnya.

Walaupun tarikh dikemas kini, struktur harga tiket kekal tidak berubah bagi memastikan semua golongan peminat dapat bersama-sama meraikan malam nostalgia tersebut.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, tiket ditawarkan pada harga mampu milik bermula dari RM198 sehingga RM388 menerusi laman sesawang rasmi www.ticket2u.com.my.

Loading...