Konsert Eksklusif ‘29th Anniversary – Symphony of Ungu’ Akan Temui Peminat Julai Ini
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Ungu, bakal mengadakan konsert eksklusif bertemakan “29th Anniversary – Symphony of Ungu” sempena sambutan ulang tahun mereka yang ke-29 dalam industri muzik.
Konsert ini akan berlangsung pada 12 Julai 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), dan dijangka menjadi salah satu acara paling dinanti tahun ini oleh peminat setia Ungu di Malaysia.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang telah menyokong mereka hampir tiga dekad, Ungu memilih Malaysia sebagai lokasi utama untuk meraikan ulang tahun penting ini.
Konsert istimewa ini akan menampilkan konsep orkestra penuh, hasil sentuhan kreatif pengarah muzik ternama J.P Denny, yang dijangka memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu ikonik Ungu yang selama ini dekat di hati peminat.
Dengan katalog lagu penuh emosi dan makna seperti Cinta Dalam Hati, Andai Ku Tahu, dan Percaya Padaku, konsert ini bakal membawa penonton menyelami semula perjalanan seni Ungu dalam suasana yang lebih mendalam dan eksklusif.
Gabungan elemen orkestra dan persembahan bertenaga dari ahli kumpulan dijangka mencipta satu malam yang penuh magis dan kenangan buat semua yang hadir.
Plenary Hall dipilih sebagai lokasi istimewa bagi penganjuran konsert ini, yang mampu memuatkan sehingga 2,865 penonton.
Menyedari sambutan hangat yang bakal diterima, pihak penganjur menyarankan agar para peminat mendapatkan tiket lebih awal bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan yang dijangka akan menjadi antara konsert paling bersejarah dalam kerjaya Ungu.
Menurut kenyataan penganjur, pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert adalah kerana pengaruh besar Ungu di kalangan peminat muzik Malaysia, serta sokongan berterusan yang diterima sejak awal kemunculan mereka.
Tiket konsert sudah mula dijual menerusi platform rasmi www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula dari RM288.00 hingga RM1,588.00, bergantung kepada kategori tempat duduk.
Konsert ini juga dilihat sebagai simbol penghargaan kepada peminat-peminat yang telah menjadi nadi kekuatan Ungu sepanjang 29 tahun mereka berkarya.