Ikuti Kami:

Konsert Eh Raya 2025: Menyemarakkan Budaya Tradisional dalam Suasana Raya

Konsert Eh Raya 2025: Menyemarakkan Budaya Tradisional dalam Suasana Raya

Konsert Eh Raya 2025 yang diadakan di Summit USJ telah berjaya menghidupkan suasana perayaan Aidilfitri dengan menggabungkan seni dan budaya tradisional dalam satu perayaan yang meriah.

Lebih 5,000 pengunjung hadir untuk menikmati pelbagai aktiviti yang tidak hanya menghiburkan tetapi juga memupuk rasa cinta terhadap warisan budaya.

Acara ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya menyajikan pelbagai elemen kebudayaan yang memfokuskan pada seni tradisional, termasuk Bengkel Santai Zapin & Ronggeng Selangor yang melibatkan lebih 300 peserta dari pelbagai peringkat umur.

Turut diadakan pertandingan mewarna “Eh, Warna-Warna Raya!” memberikan peluang kepada kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun untuk turut serta dalam meraikan budaya dengan cara yang kreatif.

Sebagai tuan rumah dan penggerak utama program ini, penyanyi yang sinonim dengan lagu Irama Malaysia dan budaya, Noraniza Idris meluahkan rasa syukurnya atas kejayaan acara ini.

“Apa yang kita buat ini adalah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk memberi manfaat kepada komuniti. Dengan bantuan kewangan dari penaja seperti Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tourism Selangor, Agensi Pekerjaan Najah dan sokongan Summit USJ, semua ini menjadi realiti,”

“Syukur, anak-anak dan ibu bapa yang hadir nampak puas hati dan seronok,” kata Noraniza, yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia.

Di samping itu, YM Tengku Dato’ Dr Hishammuddin Zaizi Bin Tengku Bendahara Azman Al-Haj, Penaung Konsert Eh Raya 2025, turut merasakan pentingnya memperkenalkan budaya tradisional sepanjang tahun dan bukan hanya pada musim perayaan.

“Tradisi ini tidak patut hanya diangkat pada musim perayaan sahaja. Dari dulu lagi, kita melihat bagaimana seni tradisional terus diperkasa tanpa mengira musim. Kali ini, fokus diberikan kepada elemen budaya negeri Selangor seperti tarian Ronggeng dan makanan warisan Bugis,” ujarnya, yang menggariskan usaha berterusan untuk memertabatkan seni tradisional dalam kalangan generasi muda.

Konsert Eh Raya 2025 membuktikan bahawa seni dan budaya tradisional bukan hanya relevan, tetapi juga mampu menyatukan masyarakat dalam suasana yang penuh harmoni.

Salah satu acara paling menarik dalam konsert ini adalah Pertandingan Tarian Kreatif Eh Raya, yang melibatkan peserta dari lima negeri untuk merebut hadiah utama hingga RM3,000 bagi koreografi terbaik.

Keunikan acara ini terletak pada penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang turut menyumbang kepada penghargaan seni budaya.

Aktiviti Malar Likur, yang memperkenalkan tradisi penyediaan pelita raya, dan perarakan makanan warisan Bugis turut ditampilkan dalam konsert ini sebagai simbol penting budaya negara.

Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan dan berkembang di masa hadapan bagi memastikan warisan seni dan budaya negara terus hidup di kalangan masyarakat Malaysia.

Komen
Loading...