Konsert DOLLA di Singapura Ditunda, Fokus Pada Persembahan Berkualiti di KL
- oleh MDaily Editor
- 7 Nov 2025 12:55 pm
Kumpulan pop sensasi Malaysia, DOLLA, mencetus fenomena apabila konsert mereka, Good Girls Gone Bad, menerima sambutan hangat daripada peminat tempatan menjelang penganjuran di idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 6 Disember 2025.
Konsert berkenaan dijangka menjadi antara persembahan terbesar DOLLA setakat ini dengan konsep yang lebih matang serta produksi berskala besar.
Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, jualan tiket kini mencapai lebih 50 peratus dan dijangka habis terjual menjelang minggu konsert berlangsung.
“Sambutan luar biasa. Ramai peminat teruja kerana konsert ini menampilkan konsep yang unik dengan tiga pentas utama, visual berskala besar serta elemen interaktif. Harga tiket pula antara RM138 hingga RM258, jauh lebih rendah berbanding produksi bersaiz sama,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran muzik video Question oleh DOLLA di The Campus, Ampang, semalam.

Sufi turut menyifatkan konsert ini sebagai titik kemuncak karier DOLLA yang kini dianggap wajah baharu muzik pop Malaysia.
“DOLLA ini ibarat tenaga segar industri hiburan tempatan. Disiplin, visual dan karisma mereka setanding artis antarabangsa. Kami mahu beri persembahan yang benar-benar membanggakan peminat,” katanya.
Dalam pada itu, konsert Good Girls Gone Bad yang dijadualkan berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 22 November 2025 terpaksa ditunda ke tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.
Menurut Sufi, penangguhan itu bukan disebabkan isu penjualan tiket, sebaliknya dibuat bagi memastikan kualiti persembahan dan produksi setaraf dengan konsert di Kuala Lumpur.
“Konsert DOLLA bukan sekadar persembahan biasa. Ia melibatkan perancangan panjang, produksi besar serta tenaga kerja ramai di belakang tabir. Kami mahu pastikan mutu produksi berada pada tahap terbaik, malah mungkin lebih baik daripada konsert di Malaysia,” jelasnya.

Katanya lagi, keputusan untuk menangguhkan konsert dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor teknikal termasuk saiz pentas, struktur visual dan koordinasi vendor.
“Sebagai contoh, pentas di lokasi asal tidak sesuai dengan konsep visual dan efek yang kami rancang. Kami perlukan masa tambahan untuk menyelaraskan semua aspek supaya peminat di Singapura dapat menikmati pengalaman persembahan yang sempurna,” ujarnya.
Sufi turut memohon maaf kepada peminat DOLLA di Singapura atas penangguhan konsert tersebut dan meminta mereka bersabar sementara pihak penganjur menyiapkan persiapan dengan lebih rapi.
“Saya benar-benar mohon maaf kepada semua peminat di Singapura. Keputusan ini dibuat demi memastikan peminat berpuas hati dengan pengalaman yang kami janjikan. Konsert itu tetap akan berlangsung, cuma pada tarikh baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
DOLLA yang kini dianggotai oleh Tabby, Sabronzo dan Angel, dikenali melalui lagu popular seperti MWA!, Look At Me dan BAD. Kumpulan ini dijangka bakal menggegarkan pentas dengan persembahan bertenaga, koreografi mantap serta visual yang berimpak tinggi.
Tiket konsert DOLLA “Good Girls Gone Bad” Live in Kuala Lumpur boleh didapati di laman rasmi ticketmelon.com.




