Ikuti Kami:

Konsert Datuk MN45ir Cipta 2 Meriah dengan Kejutan Duit Raya

Konsert Datuk MN45ir Cipta 2 Meriah dengan Kejutan Duit Raya

Segmen penutup Konsert Datuk MN45ir Cipta 2 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi berlangsung dengan meriah apabila M Nasir menamatkan persembahannya dengan lagu ikonik, “Satu Hari Di Hari Raya.”

Suasana semakin gempita apabila 10,000 sampul raya yang berisi duit RM1 dijatuhkan dari bumbung, mengiringi nyanyian penyanyi dan komposer terkenal tersebut.

Mengulas mengenai kejutan itu, M Nasir menegaskan bahawa walaupun nilai pemberian itu hanya seringgit, idea di sebaliknya adalah yang paling penting.

“Biasanya, saya anggap perkara-perkara seperti ini kelakar, tetapi di sebalik kelakar terdapat makna yang mendalam dalam konteks persembahan,” ujarnya.

“Ini juga adalah metafora bagi penganjur konsert yang mempunyai sikap ingin berbuat baik dan mencintai kemanusiaan.
“Walaupun nilainya hanya seringgit, bagi saya, idea itu adalah yang paling penting,” tambahnya dalam sidang media selepas konsert.

Sementara itu, Iman Tang, pengasas ICON Entertainment, menjelaskan bahawa pemberian duit raya itu membawa maksud tersendiri untuknya.

“Kami menyediakan 10,000 sampul duit raya dan menukarkan RM10,000 kepada nota RM1 yang baharu.
“Walaupun hanya duit seringgit, duit RM1 mempunyai nilai yang besar 45 tahun lalu,” jelasnya.

Dalam konsert berdurasi tiga jam tersebut, M Nasir, yang dikenali sebagai Sifu, mempersembahkan lebih 30 lagu, termasuk karya-karya penyanyi lain yang pernah mendapat sentuhannya.

Gitaris terkenal, Kid, turut memeriahkan suasana dengan petikan gitarnya semasa M Nasir menyanyikan lagu-lagu seperti “Fantasia Bulan Madu,” “Isabella,” dan “Tiara.”

Antara selebriti tempatan yang hadir untuk memberi sokongan termasuklah Wings, Spider, Lah Ahmad, Datuk Fauziah Nawi, Farah Ahmad, Azhan Rani, Akim Ahmad, Stacy, dan ramai lagi. Untuk konsert kali ini, pemuzik dan penonton memakai pakaian denim biru dan warna putih, yang menjadi tema konsert tersebut.

Komen
Loading...