Ikuti Kami:

Konsert Dadali di Kuala Lumpur: Suatu Kisah Indah Buat Peminat Lagu Balada

Konsert Dadali di Kuala Lumpur: Suatu Kisah Indah Buat Peminat Lagu Balada

Peminat muzik balada dan lagu cinta bernuansa emosi bakal dibuai alunan lagu menyentuh jiwa menerusi konsert eksklusif band terkenal Indonesia, Dadali, yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu, 5 Julai 2025.

Konsert bertemakan “Sebuah Kisah Volume 1” ini bakal menyatukan peminat muzik melankolik dari seluruh negara, apabila kumpulan yang sinonim dengan gelaran “King of Sad Song” itu mempersembahkan rangkaian lagu-lagu hits mereka, antaranya “Disaat Aku Mencintaimu”, “Disaat Aku Tersakiti”, “Disaat Sendiri”, dan “Sebuah Kisah”.

Bakal berlangsung dari jam 9 malam hingga 11 malam, konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan khas penyanyi terkenal tempatan, Ronnie Hussein, yang diyakini mampu memberi sentuhan istimewa dan memperkukuh keakraban muzik serantau.

Penganjur menjangkakan persembahan ini akan menjadi medan luahan rasa dan kenangan istimewa buat para peminat, khususnya mereka yang membesar bersama lagu-lagu cinta beremosi kuat.

Tiket untuk konsert ini ditawarkan pada harga antara RM188 hingga RM588, bergantung kepada kategori tempat duduk, termasuk pilihan Free Standing, Normal Seating, Premium Seating, dan VIP Box yang didatangkan dengan sesi Meet & Greet eksklusif bersama artis.

Untuk kemudahan pembelian, peminat boleh mendapatkan tiket di laman rasmi www.myticketempire.com, dengan pilihan bayaran fleksibel secara ansuran melalui platform Atome, SPayLater, dan Grab PayLater.

Konsert ini dianjurkan oleh Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media, dan BIZCreations dengan sokongan Tourism Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026.

Inisiatif ini bertujuan memperkasakan industri pelancongan dan hiburan tempatan melalui penganjuran acara muzik antarabangsa berkualiti tinggi.

Foto Oleh: Papadin.

Komen
Loading...