Ikuti Kami:

Konsert Cinta Rasul Satukan Hijjaz, UNIC dan Rabbani di Terengganu

Konsert Cinta Rasul Satukan Hijjaz, UNIC dan Rabbani di Terengganu

Tiga nama besar dunia nasyid tanah air, Hijjaz, UNIC dan Rabbani bakal bergabung di pentas menerusi Konsert Cinta Rasul yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus pada 3 Oktober depan.

Konsert anjuran 10 Pro Event Management itu dijangka mengembalikan nostalgia nasyid sambil menyemai cinta terhadap Rasulullah SAW dalam suasana penuh keinsafan.

Hijjaz yang sinonim dengan lagu-lagu ketuhanan bakal mengimbau kenangan melalui alunan klasik mereka, manakala UNIC tampil dengan pendekatan kontemporari yang dekat dengan jiwa anak muda.

Rabbani pula akan membuat penampilan khas, menyatukan generasi lama dan baharu dalam satu persembahan bermakna.

Menurut Pengarah Urusan 10 Pro Event Management, En. Kamal, penyertaan cabutan ini terbuka kepada semua pemegang tiket, sama ada dibeli secara fizikal mahupun melalui platform dalam talian.

“Cabutan bertuah ini khas untuk penonton. Jika sambutan menggalakkan, insya-Allah kami akan tambah lagi hadiah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau yakin gabungan kumpulan legenda nasyid dengan nama kontemporari seperti UNIC mampu menarik penonton dari pelbagai peringkat usia, bukan sahaja di Terengganu malah juga dari Kelantan dan Pahang.

“Hijjaz dan Rabbani mempunyai peminat tersendiri, manakala UNIC kuat menarik minat orang muda. Gabungan ini dijangka menghidupkan kembali semangat nasyid di pantai timur,” jelasnya

Konsert ini menyasarkan kehadiran kira-kira 4,000 penonton dengan susun atur tempat duduk merangkumi bahagian lelaki, wanita serta zon keluarga di tengah.

Selain hiburan rohani, penganjur turut menyediakan Letups Fest Food Festival yang menghimpunkan pelbagai juadah tradisi dan moden termasuk menu viral popular.

Festival makanan itu dijangka menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung yang hadir bersama keluarga.

Lebih menarik, penonton berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah kereta, sebuah skuter Yamaha Ego serta 10 keping gold bar eksklusif.

Harga tiket ditawarkan dalam tiga kategori iaitu Gold (RM148 Early Bird), Platinum (RM128 Early Bird) dan Silver Family (RM98).

Sebahagian hasil kutipan konsert ini akan disalurkan kepada Tabung Darul Iman bagi membantu pesakit kronik di sekitar Terengganu.

Tiket boleh didapati di laman rasmi Ticket2u.com

Komen
Loading...