Konsert Cinta Nostalgia Kris Dayanti Ditukar ke PICC, 22 Jun Ini
- oleh Mohd Indera
- 16 Jun 2025 12:39 pm

Konsert Cinta Nostalgia bersama Kris Dayanti yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun ini kini secara rasmi dipindahkan ke lokasi baharu, iaitu Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut kenyataan penganjur, pertukaran lokasi ini dibuat bagi memastikan keselesaan optimum dan suasana konsert yang lebih eksklusif kepada para peminat yang hadir.
Konsert ini menampilkan penyanyi tersohor Indonesia, Kris Dayanti, yang kembali ke pentas Malaysia selepas tujuh tahun, sejak Konsert Romansa Kris Dayanti pada tahun 2017.
Persembahan diva terkenal itu akan diiringi oleh muzik orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik ternama, Erwin Gutawa, yang terkenal dengan susunan muzik berskala besar dan berkualiti tinggi.
Selain Kris Dayanti, konsert tersebut turut menampilkan dua penyanyi popular tempatan, Mimi Fly dan Khai Bahar, sebagai artis undangan khas bagi menyemarakkan lagi malam persembahan yang dijangka sarat dengan emosi dan kenangan.
Tiket masih boleh didapati melalui laman rasmi UberTickets di pautan https://cintanostalgia.ubertickets.asia, dan peminat digalakkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi memastikan kehadiran ke konsert berkenaan.
Konsert ini dijangka menarik peminat dari pelbagai generasi yang ingin mengimbau nostalgia dan menikmati kehebatan suara emas Kris Dayanti secara langsung.