Konsert ‘Black On White’: Barbarik Janjikan Kelainan, Enggan Ulang ‘Formula’ Sama
- oleh MDaily Editor
- 20 May 2026 1:51 pm
Kumpulan rock terkenal, Barbarik menjanjikan kelainan buat para peminat menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun ini di IdeaLive Arena, Petaling Jaya.
Vokalisnya, Muss atau nama sebenar Mustaffa Din, 58, menyatakan bahawa dia dan pemain gitar, JoBranko, enggan menggunakan ‘formula’ atau susunan muzik (arrangement) yang sama seperti siri persembahan mereka sebelum ini.
Menurut Muss, setiap kali bekerjasama dengan Joe, fokus utama mereka adalah untuk sentiasa melakukan eksperimen bagi memastikan setiap konsert mempunyai identiti dan keunikan tersendiri.

”Bekerja dengan Joe ini, kebanyakannya kita tak buat benda yang sama. Dari segi susunan lagu, kebanyakannya adalah beza.
”Untuk konsert Black On White ini memang lagi berbeza sebab kami akan bermain dengan Cromok. Jadi, kami tidak mahu mengekalkan susunan muzik lama yang pernah dimainkan sebelum ini,” katanya pada sidang media konsert yang diadakan di The Heritage Club, Royale Chulan Kuala Lumpur, di sini, Isnin lalu.
Mengulas mengenai persediaan yang berbaki kira-kira sebulan, Muss menjelaskan bahawa proses awal latihan kini sedang berjalan rancak, terutamanya dalam meneliti pemilihan dan kesesuaian lagu.
Muss menyifatkan tempoh masa yang ada sebagai ruang terbaik untuk melakukan pelbagai pengubahsuaian bagi mengelakkan konsep keseluruhan konsert terjejas, terutamanya apabila membabitkan kombinasi antara Barbarik dan Cromok.
”Kita masih ada masa kalau perlu buat sesuatu perubahan. Apa yang penting, kami mahu gandingan ini menjadi sesuatu yang menarik dan bukannya merosakkan persembahan.
”Malah, ada juga lagu cover yang kami berikan nafas baharu menerusi perubahan cara nyanyian dan tempo muzik (down-beat). Joe ada cadangkan beberapa pendekatan baharu semasa praktis dan ia memberikan pengalaman yang sangat berbeza,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai pemilihan lagu, bekas vokalis kumpulan May itu memaklumkan bahawa senarai lagu (setlist) sebenarnya sudah disediakan oleh Joe yang bertindak selaku perancang utama (mastermind) konsert tersebut.
Bagaimanapun, mereka memilih untuk tidak tergesa-gesa memuktamadkan senarai akhir bagi memberikan ruang kepada keserasian momentum di bilik latihan.
Sementara itu, menyentuh soal stamina dan faktor usia menjelang konsert berskala besar itu, Muss mengakui dia kini lebih mengutamakan pendekatan realistik dan kreativiti berbanding mengejar keupayaan fizikal sewaktu zaman mudanya.
”Pendekatan yang saya ambil, saya buat sehabis baik. Kami bekerja secara berpasukan. Kalau ada perkara yang di luar kemampuan, kita jangan paksa sebaliknya kita selesaikan bersama.
”Kalau kita tidak boleh buat skala 10, kita olah benda itu supaya bunyi pada skala tujuh atau lapan itu tetap menarik dan bertenaga. Bagi saya, dalam bidang seni ini, kreativiti itu lebih penting daripada kemampuan fizikal,” ujarnya.
Selain itu, Barbarik kini dalam proses merakamkan sebuah single baharu khusus buat para peminat dan bakal dipersembahkan secara eksklusif buat julung kalinya pada malam konsert itu nanti.

Malam tersebut turut akan menyaksikan kolaborasi luar biasa antara Cromok dan Barbarik bagi segmen penghormatan kepada kumpulan Kembara, di mana karya-karya malar segar kumpulan itu akan digubah semula dan dipersembahkan bersama oleh kedua-dua kumpulan ini.
Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).
Tiket boleh didapati menerusi laman web MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.
