Konsert ‘Beraya Dengan Saya’: Kategori Duduk ‘Suara Takbir’ Dibuka
- oleh MDaily Editor
- 3 Apr 2026 12:17 am
Fenomena luar biasa jualan tiket konsert Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya Dengan Saya, Dato’ Sri Siti Nurhaliza mencetuskan keterujaan baharu apabila pihak penganjur mengumumkan penambahan kategori tiket khas buat para peminat.
Langkah itu diambil susulan semua zon sedia ada, termasuk zon berdiri Anugerah Aidilfitri, dilaporkan telah habis dijual atau ‘licin’ dalam tempoh singkat selepas jualan dibuka.
Memahami denyut nadi peminat, pihak penganjur memperkenalkan kategori Suara Takbir yang menawarkan zon duduk pada harga RM459.
Menurut penganjur, SN Legacy dan CTDK Global Ventures, keputusan ini dibuat khusus bagi memenuhi permintaan mereka yang mahu merasai kemeriahan konsert namun mempunyai kekangan fizikal untuk berdiri lama.
”Keputusan ini diambil sebagai tanda keprihatinan dan memenuhi permintaan peminat yang kurang berdaya untuk berdiri dalam tempoh lama, namun tetap ingin menjadi sebahagian penonton,” jelas kenyataan rasmi penganjur hari ini.

Zon Suara Takbir akan ditempatkan bersebelahan dengan zon berdiri Anugerah Aidilfitri, sekali gus memastikan suasana konsert lebih inklusif tanpa menjejaskan keselesaan penonton sedia ada.
Terdahulu, konsert yang bakal berlangsung di Zepp KL pada 10 April ini turut mencuri tumpuan apabila mengesahkan kehadiran bintang muda meningkat naik, Aisha Retno, sebagai artis undangan istimewa.
Menambah seri pada malam tersebut, artis-artis di bawah naungan SN Legacy iaitu Umairah dan Oddah juga akan tampil memberikan warna serta kepelbagaian dalam persembahan yang cukup dinantikan itu.

Bagi membangkitkan lagi aura sambutan lebaran, pihak penganjur turut menyarankan para peminat yang hadir untuk mengenakan baju raya masing-masing.
Para peminat yang terlepas peluang sebelum ini dinasihatkan untuk segera melayari Ticket2u.com bagi mendapatkan tiket.




