Konsert BCL 2025: Zon Teman Setia Dibuka Semula, Zon Eksklusif RM500 Diperkenal
- oleh MDaily Editor
- 17 Sep 2025 4:24 pm

Zon Teman Setia bernilai RM288 bagi Konsert Eternal Love, Timeless Romance 2025 yang sebelum ini habis terjual, dibuka semula untuk peminat Bunga Citra Lestari (BCL).
Penganjur konsert dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa selain pembukaan semula zon tersebut, pihaknya turut memperkenalkan satu lagi zon baharu dengan harga RM500 bagi memberi lebih banyak pilihan kepada penonton.
Konsert berkenaan dijadual berlangsung pada 27 Sept ini, jam 8.30 malam di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan akan menampilkan persembahan BCL bersama artis undangan tempatan iaitu Jaclyn Victor, Fajar Noor dan pemain biola terkenal, Dennis Lau.
Menurut kenyataan itu, penonton yang berpakaian paling bergaya juga berpeluang memenangi hadiah penginapan mewah satu malam di Imperial Lexis Kuala Lumpur.
“Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada penaja rasmi Malaysia Airlines, Enrich, BYD Sime Motors dan Gempak atas sokongan dalam menjayakan penganjuran konsert ini,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang berminat disaran mendapatkan tiket segera memandangkan jumlah tempat duduk adalah terhad menerusi www.ticket2u.com.my.