Konsert BABYMETAL di Kuala Lumpur buktikan dominasi ‘Kawaii Metal’ di pentas global
- oleh MDaily Editor
- 7 Oct 2025 7:56 pm
Kumpulan metal idol Jepun yang menjadi fenomena global, BABYMETAL, membuktikan keunggulan mereka di pentas antarabangsa menerusi persembahan penuh tenaga sempena ulang tahun ke-15 di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Konsert bertajuk “BABYMETAL WORLD TOUR 2025–2026 IN ASIA – LIVE IN KUALA LUMPUR” itu menarik ribuan peminat yang membanjiri dewan berkenaan untuk menyaksikan kehebatan trio metal idol tersebut yang terkenal dengan gaya “Kawaii Metal” gabungan antara kecomelan budaya pop Jepun dan kekuatan muzik heavy metal.
Diketuai oleh SU-METAL, bersama MOAMETAL dan MOMOMETAL, persembahan BABYMETAL bermula dengan lagu “Babymetal Death” yang terus membangkitkan sorakan gemuruh penonton.

Vokal mantap SU-METAL berpadu dengan koreografi bertenaga dua rakannya menjadikan persembahan itu tampak tersusun dan mengagumkan, sekaligus memperlihatkan disiplin tinggi kumpulan berkenaan di pentas.
Antara lagu popular yang menghangatkan suasana ialah “Head Banger!!”, “PA PA YA!!”, “Gimme Chocolate!!” dan “Megitsune”.
Setiap persembahan disambut dengan nyanyian dan sorakan peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan, membuktikan pengaruh besar BABYMETAL dalam kalangan penggemar muzik metal di Malaysia.
Membuka tirai malam itu, kumpulan idol metal baharu METALVERSE mencipta sejarah apabila tampil dengan persembahan antarabangsa pertama mereka.
Penampilan METALVERSE yang menggabungkan elemen idol Jepun dengan bunyi metal moden mendapat tepukan hangat penonton dan memperlihatkan potensi mereka sebagai pelapis baharu dalam genre Kawaii Metal.
Suasana di Zepp Kuala Lumpur bertukar bagaikan dunia fantasi apabila pentas dihiasi rekaan futuristik yang diserikan dengan visual LED dan pencahayaan dramatik bercirikan budaya Jepun.
Gabungan unsur moden dan tradisional itu menjadikan persembahan BABYMETAL bukan sekadar konsert, tetapi pengalaman visual dan emosi yang mendalam buat peminat.
Menjelang penghujung acara, sorakan “Encore!” bergema di seluruh dewan sebelum BABYMETAL kembali ke pentas dengan dua lagu terakhir, “From Me To U” dan “Road of Resistance”.
Persembahan penutup itu membawa penonton ke kemuncak emosi apabila seluruh dewan menyanyi bersama sambil melambai batang cahaya berwarna-warni.
Konsert berkenaan bukan sahaja menandakan kejayaan besar dalam siri jelajah dunia BABYMETAL, tetapi turut memperkukuh kedudukan mereka sebagai ikon global muzik Jepun.
Dengan kehadiran METALVERSE sebagai pelapis baharu, malam penuh tenaga itu membuktikan bahawa “Kawaii Metal” terus berkembang dan mendapat tempat di hati peminat seluruh dunia.




