Ikuti Kami:

Konsert Aisha Retno Dibatal Kerana Jualan Tiket Rendah, Isu Dana AJL Turut Timbul

Konsert Aisha Retno Dibatal Kerana Jualan Tiket Rendah, Isu Dana AJL Turut Timbul

Konsert solo pertama penyanyi terkenal Aisha Retno, Malam Sutera Aisha Retno, yang dijadualkan berlangsung pada 16 November 2024, terpaksa dibatalkan berikutan penjualan tiket yang amat rendah.

Menurut kenyataan rasmi yang dibacakan oleh peguam Kharisma Music, jumlah tiket yang terjual setakat September 2024 hanyalah 98 daripada keseluruhan 2,414 tiket yang ditawarkan, selain 100 tiket diperuntukkan untuk pihak media.

“Pihak kami telah berbincang dengan pengurusan Aisha Retno, ARE (Aisha Retno Entertainment), namun tiada kata sepakat dicapai. Pihak ARE tetap berkeras mahu meneruskan konsert pada tarikh asal, meskipun penjualan tiket tidak mencukupi untuk menampung kos penganjuran,” kata kenyataan itu.

Isu pembatalan konsert ini turut berkait rapat dengan dana advance yang diberikan oleh Karisma Music kepada pihak ARE untuk membantu persembahan Aisha Retno di AJL 2024.

Menurut Kharisma Music, pada Januari 2024, pihak ARE menghadapi kesukaran mencari dana untuk persembahan tersebut dan memohon bantuan mereka.

“Atas dasar hubungan baik dan untuk memastikan persembahan di AJL berjalan lancar, Kharisma Music telah memberikan dana advance. Namun, pembayaran balik yang dijanjikan melalui penganjuran konsert ini gagal direalisasikan kerana beberapa isu, termasuk penjualan tiket yang amat rendah,” jelas jurucakap Kharisma Music.

Pihak ARE dilaporkan hanya membuat bayaran balik sebanyak RM6,000 daripada jumlah keseluruhan advance yang diberikan, meskipun telah diminta beberapa kali untuk menyelesaikan pembayaran tersebut.

Penjualan tiket konsert juga dilaporkan terjejas oleh jadual padat Aisha Retno, yang terlibat dalam pertandingan nyanyian selama 10 minggu dari Mei hingga Julai 2024.

Promosi untuk konsert pula hanya dilakukan pada minggu terakhir pertandingan itu, menyebabkan usaha pemasaran tergendala.

Mereka turut menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh Aisha Retno dalam sebuah video di Instagram, yang mendakwa pihak penganjur bertanggungjawab atas pembatalan tersebut.

Kharisma Music menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah yang mencalar reputasi syarikat mereka.

“Pembatalan konsert ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, tetapi atas dasar komersial untuk mengelakkan kerugian lebih besar. Ia juga berikutan kegagalan pihak ARE untuk menangguhkan konsert ini ke tarikh baharu yang lebih sesuai,” tambah kenyataan itu.

Namun, penganjur menegaskan, keputusan ini diambil demi memastikan kepentingan komersial semua pihak yang terlibat.

Berikutan pembatalan konsert, Kharisma Music telah memulakan proses pemulangan wang kepada pembeli tiket.

 

Komen
Loading...