
Foto Oleh: Subky Hj Bebit.
Konsert We 4U2C Live In Concert yang dijadual berlangsung pada 15 September ini tetap akan diteruskan seperti dirancang, walaupun berdepan dakwaan berhubung hak cipta lagu-lagu nyanyian kumpulan tersebut.
Penganjur konsert, Juss Events, tampil menjelaskan bahawa pihak mereka telah mendapatkan nasihat dan pengesahan daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) berhubung status lagu-lagu yang akan dipersembahkan, dan akan memastikan semua garis panduan serta undang-undang dipatuhi sepenuhnya.
“Kami telah berjumpa dengan MACP dan bersyukur pertemuan tersebut berlangsung dengan baik. Panduan yang diberikan akan kami ikuti demi memastikan konsert ini berjalan secara sah dan menghormati semua pihak, termasuk pencipta lagu,” kata jurucakap Juss Events, Shasha Marican.
Sementara itu, anggota kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal, menyatakan bahawa konsert tetap diteruskan selepas pihak mereka menerima permit rasmi daripada MACP.
“Memang kita lihat isu ini tular di media sosial dan memberi pelbagai persepsi terhadap konsert kami. Selepas 30 tahun, inilah konsert yang menyatukan kami semula. Dan dengan permit yang diperoleh daripada MACP, the concert is on,” katanya.
AC Mizal menjelaskan bahawa mengikut peraturan MACP, persembahan secara langsung tidak memerlukan kebenaran individu pencipta lagu kerana hak telah diserahkan kepada MACP, yang juga menguruskan bayaran royalti kepada pencipta asal.
“Saya belum pun umumkan lagu apa yang akan dinyanyikan. Jadi kenapa perlu diperbesarkan? Saya percaya ada agenda tertentu. MACP sahkan kami boleh buat persembahan dan hak milik telah diserah kepada mereka,” katanya.
Turut bersuara, anggota kumpulan yang juga pencipta lagu, Azam, menegaskan bahawa dakwaan kononnya kesemua lagu milik bekas pengurus mereka adalah tidak benar.
“Saya ahli MACP sejak 1990 dan masih aktif mencipta lagu. Dalam album pertama kami, hanya tiga lagu milik Man Senoi. Lagu-lagu seperti Fiona adalah ciptaan Joe, dan lagu kami rappers adalah 100% ciptaan saya. Jadi bila dia dakwa 25 lagu miliknya, saya rasa kecewa kerana kami juga pencipta lagu,” katanya.
Menurut Azam, kira-kira 70 peratus daripada lagu-lagu yang didakwa itu sebenarnya adalah hasil ciptaan ahli kumpulan sendiri.
Datuk AC Mizal, mewakili kumpulan 4U2C, menjelaskan bahawa mereka bukan sahaja telah mendapat lampu hijau daripada MACP, tetapi turut menerima sokongan moral daripada rakan-rakan artis ternama negara.
“Ada beberapa artis yang menguatkan semangat saya. Pertama, Dato’ Zainal Abidin. Beliau telefon saya dan kata, ‘AC, teruskan konsert, kau tak salah.’
Kedua, Amy Search nasihatkan saya periksa aspek platform digital, tapi dia juga kata, ‘Kau tak salah.’
Ketiga, Dato’ Norman KRU mesej saya dari Singapura selepas konsert. Katanya, ‘Apa salahnya nak nyanyi lagu sendiri secara live? Ini bukan salah kau.’
“Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana memberi dorongan kepada kami untuk teruskan perjuangan ini,” katanya.
Dalam kenyataan paling tegas, kumpulan 4U2C menuntut agar individu yang membuat dakwaan berkenaan, termasuk Man Senoi dan Mama Rap, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dalam masa 24 jam.
“Kami menuntut mereka yang terbabit dalam membuat kenyataan tidak berasas mengenai hak cipta ini agar memohon maaf secara terbuka di media dalam tempoh 24 jam. Jika gagal berbuat demikian, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” tegas AC Mizal.
Konsert We 4U2C Live In Concert dijangka menjadi peristiwa penting yang menandakan kemunculan semula kumpulan ikonik era 90-an itu selepas lebih tiga dekad, dan kini dengan jaminan bahawa persembahan tersebut akan mematuhi sepenuhnya undang-undang muzik negara