Ikuti Kami:

Konsert 30 Tahun ‘Ella USA’: Ella & Kyoji Yamamoto Bersatu Semula

Konsert 30 Tahun ‘Ella USA’: Ella & Kyoji Yamamoto Bersatu Semula

Selepas tiga dekad mencipta magis muzik rock tempatan, Ratu Rock Malaysia, Ella, bakal mengembalikan nostalgia album ikoniknya, Ella USA, dalam satu konsert istimewa yang turut menyaksikan penyatuan semula beliau bersama gitaris lagenda Jepun, Kyoji Yamamoto.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 17 Mei 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands, bakal menjadi simbolik kepada hubungan kreatif dua benua yang pernah menggoncang industri muzik Malaysia.

Album Ella USA, diterbitkan pada tahun 1994, bukan sahaja melonjakkan nama Ella ke tahap legenda, malah turut menandakan kerjasama bersejarah antara beliau dan Kyoji Yamamoto.

Gabungan gaya rock Ella dan sentuhan gitar Kyoji telah menjadikan album ini sebagai salah satu karya paling berpengaruh dalam sejarah muzik tempatan.

“Saya sangat teruja dapat kembali bekerjasama dengan Kyoji. Kami cipta sesuatu yang luar biasa dulu, dan sekarang kami berpeluang lakukannya semula, secara langsung, di hadapan peminat,” ujar Ella, penuh semangat menjelang konsert yang dinanti-nantikan ini.

Konsert 30 Tahun Ella USA bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya akan membawa peminat menyelami semula detik-detik indah bersama lagu-lagu daripada album berkenaan.

Menurut Ella, penonton boleh menjangkakan beberapa kejutan menarik selain himpunan lagu ikonik yang pernah menjadi siulan ramai.

Lebih istimewa, konsert ini juga diadakan bersempena ulang tahun ke-60 Resort World Genting, menjadikan pentas Arena of Stars tempat yang amat bermakna buat Ella.

“Genting adalah sebahagian daripada perjalanan seni saya. Saya gembira dapat berkongsi pentas ini sekali lagi, pada detik yang sangat istimewa,” katanya lagi.

Tiket bermula dari RM99 hingga RM389. Ahli Genting Rewards Card layak menikmati diskaun 10% untuk kategori tertentu. Untuk pembelian dan maklumat lanjut, layari rwgenting.com.

Komen
Loading...