Ikuti Kami:

Konsert 3 Veto: Gabungan Tiga ‘Raja Rock’ Sasar 5,000 Penonton

Konsert 3 Veto: Gabungan Tiga ‘Raja Rock’ Sasar 5,000 Penonton

Industri muzik rock tanah air bakal mencatatkan sejarah baharu apabila tiga gergasi legenda, Search, Wings, dan XPDC, bakal disatukan buat julung kalinya di atas satu pentas dalam acara berskala besar, Konsert 3 Veto.

Konsert yang dijadualkan berlangsung di Megastar Arena, Bukit Bintang pada 1 Ogos depan itu bukan sekadar persembahan biasa, malah disifatkan sebagai simbol legasi muzik rock yang kekal relevan meskipun sudah melangkaui empat dekad.

Wakil penganjur daripada Bintang Batu Event, Ikhram Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atom berkata, pemilihan ketiga-tiga band ini adalah berdasarkan status mereka sebagai ‘raja’ dalam genre masing-masing, sekali gus menjanjikan kepuasan buat halwa telinga peminat.

“Inilah tiga ‘king’ rock yang kita bawakan. Kami menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 penonton untuk memenuhkan ruang Megastar Arena menerusi gabungan elemen nostalgia dan teknologi moden.

“Setiap kumpulan akan diberikan slot persembahan selama kira-kira satu jam, menjadikan durasi keseluruhan konsert ini melebihi tiga jam. Malah, peminat akan disajikan dengan kejutan segmen ‘mashup’ di mana ketiga-tiga band ini akan menyanyi secara serentak di atas pentas,” katanya semasa sidang media Konsert 3 Veto di The Agam, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sementara itu, vokalis Wings, Datuk Awie, menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu perkembangan sihat buat industri rock tempatan. Meskipun Wings jarang berkolaborasi secara berkumpulan besar seperti ini, beliau menegaskan persiapan rapi sedang giat dijalankan.

“Kami belum pernah lagi berkolaborasi di pentas yang sama secara serentak seperti ini. Walaupun tugasan ini berat, kami tetap sedia untuk memberikan persembahan terbaik. Kami juga sedang merancang untuk menyusun semula lagu-lagu popular agar kedengaran lebih segar menerusi susunan arrangement baharu,” jelas Awie.

Selain persembahan vokal, konsert ini bakal diperhebatkan dengan penggunaan teknologi visual projection mapping yang dijangka memberikan dimensi baharu kepada persembahan pentas rock tradisional.

Bagi memastikan peminat dari pelbagai latar belakang dapat menyaksikan persembahan bersejarah ini, pihak penganjur menawarkan harga tiket bermula daripada RM189 sehingga RM449.

Bagi mereka yang inginkan pengalaman lebih eksklusif, Grand VIP (sofa premium) turut disediakan pada harga RM1,500.

Tiket telah mula dijual sejak 8 Mei lalu menerusi platform dalam talian 3veto.ubertickets.asia.

FOTO: Maestro Ridwan.