Ikuti Kami:

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih Rai 25 Tahun Perjalanan Seni Dan Dakwah

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih Rai 25 Tahun Perjalanan Seni Dan Dakwah

Kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam, bakal meraikan perjalanan seni dan dakwah mereka selama 25 tahun menerusi konsert istimewa “25 Tahun Inteam Nur Kasih” yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 1 Februari 2026 jam 8.20 malam.

Konsert anjuran ICON Entertainment milik Iman Tang ini bakal menjadi satu lagi detik bersejarah dalam industri muzik Islamik tanah air, menggabungkan elemen hiburan, keinsafan dan kasih sayang dalam bentuk persembahan yang lebih segar dan menyentuh hati.

Menurut Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, penganjuran konsert berskala besar ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 Inteam tetapi juga mengiktiraf perjuangan kumpulan itu dalam memartabatkan nasyid sebagai wadah dakwah dan hiburan mendidik jiwa.

“Sebagai penganjur, kami meraikan semua karyawan seni daripada pelbagai genre dan nasyid adalah antara genre yang sangat penting dalam membentuk nilai serta jiwa masyarakat.”

“Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih bukan sekadar hiburan tetapi simbol perjalanan seni dan dakwah yang memberi makna mendalam kepada ramai,” katanya.

Iman berkata, Inteam yang dianggotai Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Ab Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad telah menunjukkan komitmen yang luar biasa sejak penubuhan mereka pada tahun 2000 dengan karya popular seperti Nur Kasih, DIA, Kerana Cinta dan Kasih Kekasih yang masih mendapat tempat di hati peminat.

“Maka peminat tidak akan rugi hadir ke konsert ini kerana setiap lagu mereka membawa mesej dan nilai yang menyentuh hati,” tambahnya.

Vokalis utama Inteam, Hazamin Harun, turut melahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima semasa konsert terdahulu di IdeaLive Arena dan yakin konsert di Axiata Arena akan tampil lebih hebat.

“Alhamdulillah, saya rasa majoriti penonton di IdeaLive Arena sangat-sangat puas hati dan mereka nak lagi. Ramai sampai tulis di ruangan komen, ‘tolonglah siapa yang dah dapat tiket jangan pergi, bagi orang lain pula,’ tapi mereka sendiri nak datang semula, itu yang kami nak sebenarnya,” katanya.

Hazamin juga percaya kolaborasi dengan ICON Entertainment akan mengangkat konsert kali ini ke tahap lebih tinggi.

“Bila dilamar oleh pihak ICON untuk adakan konsert di Axiata, kami berbincang dan tidak berpikir panjang untuk menerima lamaran kerana kami yakin inilah pakarnya untuk anjur konsert di Axiata.”

“Apa yang kami lakukan di IdeaLive itu, saya percaya di Axiata nanti akan jadi berganda lebih baik. Kami akan gandakan usaha dari segi persembahan, nyanyian dan pemilihan lagu.” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa konsert ini bukan hanya tentang kejayaan Inteam tetapi usaha untuk mengangkat martabat industri nasyid keseluruhannya.

“Bila sebut Axiata Arena, kami tahu inilah masanya. Ini bukan hanya tentang kami tetapi untuk industri nasyid secara keseluruhan. Ini kali pertama konsert nasyid solo diadakan di Axiata Arena. Kami amat berharap sokongan semua pihak,” ujarnya.

Hazamin turut menzahirkan penghargaan kepada media dan netizen yang banyak membantu menyebarkan gelombang positif terhadap nasyid.

“Saya tengok untuk IdeaLive, pihak media banyak menulis cerita yang positif. Netizen pun kongsi cerita yang baik-baik. Kami harap gelombang itu akan diteruskan ke Axiata nanti, insya-Allah,” katanya.

Konsert ini turut menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah menarik termasuk enam pakej umrah bernilai RM8,999 setiap satu tajaan Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn Bhd, baucar bernilai RM5,000, dua unit skuter Modenas Elit 150s serta telefon pintar edisi terkini untuk pembeli tiket bertuah.

“Kami mahu konsert ini menjadi pengalaman yang lebih daripada sekadar hiburan tetapi tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong,” kata Iman.

Kategori tiket yang ditawarkan ialah RM168 (DIA), RM258 (KERANA CINTA), RM288 (BISIKAN NURANI), RM328 (KASIHKU ABADI), RM368 (KIAS CINTA), RM388 (SELIMUT KASIH), RM428 (NUR KASIH) dan RM488 (KASIH KEKASIH).

Tiket Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih akan mula dijual pada Jumaat, 24 Oktober 2025, bermula jam 11 pagi di laman sesawang www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih.

Komen
Loading...